Minyak Morhabshi

Artikal terkini Cheguman dalam pelbagai blog

Hang Tuah bukan pembodek

Tuesday, June 29, 2010


Dalam riwayat, Hang Tuah diperkenalkan melalui peristiwa beliau menghalang amukan seorang lelaki yang mengancam nyawa Bendahara. Bermula dari situlah Hang Tuah dibawa berjumpa sultan dan diambil menjadi hulubalang diraja yang akhirnya menjadi laksamana.

Tindakan Hang Tuah tersebut dengan mudah difahami sebagai suatu bakti yang tidak terhingga kerana sejarah membuktikan Bendahara Tun Perak yang diselamatkan itu akhirnya menjadi bendahara yang begitu berjasa dalam menyebarkan Islam ke seluruh nusantara.

Namun tidak semua yang menganggap begitu. Dalam peristiwa amuk tersebut semua pengawal bendahara telah lari bertempiaran sehingga mendatangkan kemurkaan Bendahara. Bahkan ia tidak habis begitu sahaja apabila Tun Perak memanjangkan kes itu ke pengetahuan sultan.

Walaupun Hang Tuah sendiri yang mengesyorkan agar para pengawal terlibat tidak dihukum, namun kemunculan Tuah di istana merupakan saingan baru kepada pihak tertentu.

Mahu tidak mahu, Hang Tuah sudah mempunyai musuh peribadi di istana.

Saya bawa ceritera klasik di atas kerana masih ada yang gagal melihat jasa Hang Tuah sehingga tergamak menuduh beliau seorang pembodek. Malang sungguh di saat orang lain mengemukakan wira bangsa dan negara masing-masing, orang Melayu pula membunuh wira sendiri dengan pelbagai tohmahan. (lihat bagaimana Amerika mempromosi Rambo dan sebagainya melalui filem).

Seperkara lagi yang dapat kita ambil pengajaran ialah apabila seseorang membuat kebajikan maka akan ada yang berasa diketepikan. Golongan ini tidak duduk diam sahaja malah akan mula mencari peluang sehingga sering terbabas bertindak yang bukan-bukan.

Dalam sejarah Melayu, watak-watak pendengki terdiri daripada pihak yang kecewa dan merasa disingkir arus perdana. Lebih malang lagi apabila mereka gagal mencari kaedah positif untuk berjaya sebaliknya hanya nampak kejayaan melalui cara menjatuhkan orang lain.

Dalam pada itu iblis pun memainkan peranan dengan berkesan.

Modus operandi iblis bukanlah dengan mengada-adakan cerita sebaliknya dengan mengeksploitasi isu sebenar. Contohnya, apabila terdapat kelemahan dalam kerajaan seperti rasuah, iblis tidak akan mencadangkan rasuah itu dibasmi sebaliknya mengesyorkan agar seluruh kerajaan dimusnahkan dengan alasan ia tidak boleh dipulihkan lagi.

Dalam usaha itu, iblis tahu bahawa manusia yang paling mudah dipengaruhi ialah manusia yang sedang kecewa atau diganggu masalah besar. Sememangnya golongan tersebut memang ramai termasuklah golongan cerdik pandai yang mahir mempengaruhi minda masyarakat.

Iblis juga faham bahawa sesebuah sistem tidak mudah ditumbangkan, bahkan itulah yang dikehendaki iblis. Lebih lama proses perpecahan itu berlangsung, lebih baik bagi iblis. Sepanjang pertelagahan tersebut pelbagai aktiviti sampingan boleh ditimbulkan. Fitnah, tohmahan, kata mengata, tuduh menuduh, perkelahian, perbalahan dan jika boleh biarlah ia berakhir dengan peperangan.

Sesungguhnya kemusnahan manusia adalah janji iblis kepada Allah Taala.

Sementara itu saya juga sependapat betapa UMNO banyak melakukan kesilapan di masa lalu namun saya tidak dapat membohongi diri bahawa jasa parti itu dan pemimpinnya juga tidak ternilai.

Justeru saya percaya jalan terbaik bukanlah dengan membakar kelambu sebaliknya mengenalpasti kelemahan serta berusaha memulihnya.

Itulah yang membuka fikiran sekumpulan ulama yang menyertai UMNO baru-baru ini. Kemasukan beramai-ramai tersebut adalah permulaan kepada penyertaan lebih ramai lagi golongan berpendidikan Islam ke dalam UMNO bagi menyahut permintaan DS Najib agar UMNO berubah sepenuhnya.

Walaupun majoriti blogger BPN bukan ahli UMNO namun kami menyokong semua usaha ke arah penyatuan dan perpaduan. Iltizam kami lebih kuat lagi apabila terbongkarnya usaha mendaftarkan pengundi baru kalangan kaum cina secara agresif yang bakal memberi implikasi bertukarnya 'kerajaan UMNO' kepada 'kerajaan DAP'.

Melayu tidak ada pilihan lain selain bersatu dan tidak lagi boleh bersikap berkecuali. Mahu tidak mahu UMNO akan menjadi wadah perjuangan kerana ia adalah parti terbesar orang Melayu. PAS tidak menjadi pilihan kerana ia cuma parti serpihan yang kini hanya ada 23 kerusi.

Hakikatnya, proses meruntuhkan UMNO itu lebih panjang berbanding proses mematikan pergerakan PAS. Sedangkan proses yang lama itulah yang disukai iblis!

Jika semakin ramai ahli UMNO berjiwa Islam, apa bezanya lagi UMNO dengan PAS?


Salam hormat,



(Blogger bukan ahli UMNO tetapi berpendapat sudah sampai masanya orang Melayu bersatu bagi menghalang kaum bukan Melayu menguasai politik negara melalui pakatan pembangkang yang nampaknya diberi laluan mudah oleh pengundi kaum cina sejak akhir-akhir ini).

Kaf alif waw mim, cha ya nun alif, nun alif kaf, kaf waw alif sin alif pa waw lam ya ta ya kaf!


foto hiasan:
silat jpg
conceptart.org

Read more...

erti kebahagian

Sunday, June 20, 2010


Sambil memandu di lebuhraya setelah bercuti beberapa hari di kampung, alunan trio Kembara menemani perjalanan. Antaranya ialah lagu berikut:

Ada satu cerita dari ayahku
Tentang pengalamannya
Bertemu dengan seorang angkasawan
Yang baru pulang
Setelah menjelajah bulan dan bintang

Sambil menunjuk arah cakerawala
Dan berkata sungguh indah
Tiada hipokrasi tiada korupsi
Tiada peperangan dan tiada dendam

Menurut cerita darinya lagi
Mereka hidup berharmoni
Begitulah dunia di sana
Dan ayahku melihat sekitarnya
Lalu berkata

Sawah ladang ini
Adalah milik kami, milik kita
Di mana-mana sama saja
Kerna kebahagian
Letaknya di jiwa sendiri
Oh angkasawan, Oh ayahku

Walaupun saya amat meminati M. Nasir dan Kembara namun lagu berjudul Ayahku dan angkasawan tadi bukanlah lagu kegemaran saya suatu ketika dulu.

Setakat ini belum ada manusia yang mampu menjelajah bulan dan bintang. Malah saya yakin manusia tidak akan sejauh itu mengembara cakerawala. Itulah yang menjadi alasan kenapa saya kurang menyukai lagu ini. Tidak logik.

Namun malam tadi ia sempat mengajak minda saya berfikir sebaliknya.

'Ayahku dan Angkasawan' adalah impian generasi ayah kita terhadap bumi yang sedang kita diami yang skopnya boleh diperkecil lagi untuk tanah air kita.

"Kerna kebahagian letaknya di jiwa sendiri"

Ya. Kebahagiaan memang terletak di jiwa kita sendiri.

Selamat hari bapa.


Salam,

Read more...

DEB dan assobiah

Thursday, June 10, 2010


"Berapa harga kelapa sekarang?" tanya saya.
"15-20 sen," jawab adik ipar saya.
"Eh, takkan murah sangat?" saya tidak berpuas hati.
"Paling-paling pun, 25 sen. Jarang-jarang naik 30 sen." beliau menambah.
"Di Penang, harga kelapa RM1.20-RM1.80 sebiji," tambah saya lagi.
"Itu di bandar. Ini di kampung." jawabnya perlahan.

Adik ipar saya ini memang tidak banyak cakap. Sejak muda beliau keluar dari kampung dan bekerja di bandar. Kesetiaan beliau pada satu kilang selama belasan tahun menyebabkan beliau begitu mahir dalam bidangnya. Akhirnya beliau diberi kepercayaan menguruskan sebuah kilang di Johor.

Namun kilang tersebut gagal meneruskan operasi setelah terjebak dalam krisis ekonomi sekitar 1998. Adik ipar saya itu memilih untuk tinggal di kampung menguruskan tanah kebun ibu bapanya. Padahal jika dia bertukar ke kilang lain dengan pengalaman yang ada, beliau boleh mendapat RM4-5K sebulan.

"Kenapa tak jual sendiri?" saya bertanya. "sewa lori dan bawa kelapa ke bandar. Pasti laris." saya memberi idea.

Bukan susah sangat memberi pendapat. Yang susah ialah melaksanakan nasihat. Apatah lagi nasihat yang diberi oleh 'orang luar' yang tidak mengalami sendiri.

Tidak lama selepas itu barulah saya ketahui cerita sebenar:

Adik ipar saya tidak sekadar mewarisi tanah dan kebun bapanya malah turut mewarisi hutang piutang yang ditinggalkan. Sejak sebelum merdeka, datuk dan bapanya serta majoriti orang kampung kami menjual hasil tani pada orang tengah berbangsa Tionghua.

Wang jualan yang tidak seberapa itulah yang menyara hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Jika tidak dikais pun, perut anak bini perlu diisi juga.

Maksud saya mudah sahaja. Jika sakit, berhutanglah dengan 'taukey' mereka. Perut yang lapar perlu diisi.

Hutang juga boleh terjadi ketika keluarga memerlukan perbelanjaan besar seperti kenduri, naik haji, membiayai pelajaran dan sebagainya. Itu belum lagi kes luar jangka seperti sakit, mati, kemalangan dan lain-lain.

Hutang juga boleh berlaku bagi memenuhi keinginan mereka sebagai manusia seperti membeli kenderaan, membaiki rumah, membeli perabot, dan memiliki alat teknologi baru.

(jangan wewenang menempelak mereka sebab tabiat tersebut masih kita warisi dengan pelbagai kaedah modern termasuk 'kad kredit')

Semua perkara tersebut boleh diperolehi melalui 'taukey' dengan syarat mudah; iaitu mencagarnya dengan geran tanah dan diwajibkan membayar melalui potongan hasil jualan kelapa, koko dan sebagainya.

Itulah realitinya dan hutang itu masih diwarisi biarpun negara sudah merdeka lebih 50 tahun! Maklumlah, berapa banyaklah yang boleh ditolak hutang setiap kali menjual hasil tani?

Itulah realiti nasib yang dikongsi oleh kebanyakan orang Melayu sejak sebelum merdeka. Yakni sejak Inggeris memerintah dan membawa masuk pekerja daripada China dan India.

Keghairahan Inggeris memenuhi permintaan pasaran dunia terhadap bijih timah menyebabkan penggunaan buruh asing terutama daripada Cina. Inggeris tidak mahu menggunakan tenaga orang tempatan kerana mereka diperlukan dalam sektor pertanian dan pengeluaran sumber makanan.

Alasan di atas berlawanan dengan tanggapan sesetengah pihak yang menuduh orang Melayu tiada kemahiran bekerja di lombong. Lebih menyedihkan, ada yang mengatakan orang Melayu tidak boleh bekerja di lombong kerana sikap mereka yang malas.

Jelas, pengekalan orang Melayu di kampung-kampung yang ekonominya terbatas dan pasif adalah disengajakan oleh Inggeris atas percaturan ekonomi dan agihan sumber tenaga.

Bersambung...










foto:
549x725 - 138kB - jpg napiture.blogspot.com
400x300 - 48kB - jpg mrfeckry.blogspot.com

Read more...

menaikkan gred Melayu

Tuesday, June 1, 2010



Ketika saya menjumlahkan markah murid-murid tadi, saya tersedar bahawa ramai yang memperolehi 79 markah. Ertinya kurang satu bagi mencapai gred A.

Maka saya menyemak kembali kertas jawapan subjektif yang telah saya tandakan. Saya dapati beberapa jawapan yang diberi telah dimarkah dengan agak ketat. Padahal masih ada ruang untuk dinaikkan markahnya.

Maka hampir semua murid yang kurang satu markah itu saya bantu bagi mencapai gred A atau B (mengikut kesesuaian).

Perbuatan saya itu dilihat anak-anak saya yang asyik melihat saya menjumlahkan markah. Tiba-tiba yang sulung menegur:

"Kenapa yang ini Papa tak tambahkan markah? Padahal markahnya pun 79 juga."

Rupa-rupanya anak saya itu sedang mempelajari bahawa jika markah 79 (B+), saya akan naikkan kepada 80 (-A)

"Memang Papa beri markah tambahan untuk naikkan gred, tetapi bukan sewenang-wenangnya. Hanya yang layak sahaja akan diberi markah tambahan. Papa akan lihat semula jawapannya dan menyemak jika ada ruang untuk diberikan markah tambahan. Dengan syarat ia memenuhi kriteria minimum. Kalau jawapannya memang salah, Papa takkan tambah walaupun setengah markah." Saya menjelaskan.

"kasihanlah pada yang tak layak naik gred tu." tambah anak saya.

"Apa nak buat. Namun jika dikira tidak layak, yang Papa tak naikkan itu sebenarnya lebih tidak layak. Jadi, dia tidak sepatutnya memprotes.

Saya fikir, DEB pun demikian juga. Bukan semua boleh dibantu dan kita tidak boleh berjaya hanya dengan bantuan. Walau bagaimanapun memang ada yang perlu dibantu jika kita dapati tidak ada seorangpun yang mendapat gred A.

Bagaimana pula dengan yang tidak dibantu?

Ya, mereka akan tidak berpuas hati. Barangkali juga akan marah. Malah adalah normal jika ada yang menghebahkan kekecewaan mereka pada orang lain. Itu memang lumrah manusia. Kita tidak akan mampu menyekat ketidakpuasan hati semua orang.

Dalam 'mengadu hal' itu, siapakah yang akan menceritakan kelemahan diri? Tidak ada siapa yang mahu dicop lemah.

Maka ramailah kalangan kontraktor yang gagal kerana diri kurang layak itu mula membawa cerita bahawa dia diketepikan kerana kroni. Golongan ini memang ramai. Mereka bercerita dan bercerita. Cerita semakin merebak dalam masyarakat dan membentuk satu persepsi.

Persepsi inilah yang kemudiannya menompok dalam batu jemala rakyat sehingga mengenepikan realiti.

Akhirnya, DEB dijadikan sasaran tohmahan kerana ia tidak mampu melawan. DEB juga dituduh bersalah bagi mengaitkan penerajunya dengan kegagalan.

Malangnya ramai yang tidak memahami tentang DEB pun turut menceritakan keburukan DEB.

Maka yang tahu hadis pun membawa hadis berkenaan assobiah. Walhal tiada satu frasa pun yang menunjukkan DEB itu menindas kaum lain. Bahkan DEB menjamin harta dan peluang kaum lain agar tidak dirampas oleh orang Melayu yang berang dengan tekanan hidup akibat penjajahan.

Insya-Allah saya akan tulis sekali lagi bagaimana kaum-kaum di Tanah Melayu distruktur semasa penjajahan. Semoga dari situ kita dapat melihat kebenaran dan tidak lagi menghina bangsa sendiri.



salam hormat.






foto Peta Kerajaan Srivijaya:
srivijaya empir...p1 jpg
public.kompasiana.com

Read more...

Yang paling diminati

Latar belakang blog Cheguman Online

Baru-baru ini Panglima Perang Cyber, YDP BPN menegur saya:

"Kenapa Cheguman tidak menulis macam dulu?"

Saya termenung seketika dengan teguran tersebut. Apa perbezaannya? Apa yang kurang? Apa yang istimewanya dahulu?

Sejenak saya menoleh dan merenung kembali jejak perjalanan Demang Lebar Daun mengemudi Waadat sejak Mac 2008. Secara jujur saya akui sering tersepit antara kualiti dengan kuantiti. Hambatan terhadap populariti bagi menarik seramai mungkin khalayak pembaca sering mengorbankan kualiti persembahan.

Barangkali ia suatu ironi namun itulah hakikatnya. Persaingan merebut pengunjung mengasak para blogger memanipulasi isu sebanyak mungkin. Kebanyakan blogger perlu membuat 'update' sekerap yang boleh, termasuk menggunakan tajuk-tajuk sensasi.


Demikian juga diri ini. Dalam usaha meletakkan Waadat dalam senarai teratas 'blog list', hasil tulisan berbentuk analisis dan pemikiran metakognitif telah bercampur dengan artikal-artikal berbentuk berita dan komentar terhadap isu semasa.

Ibarat kain cukin yang ditarik ke atas terbuka di bawah ditutup bawah atas terbuka maka saya cuba seupaya mungkin memaksimum kemampuan diri dicelah kekangan yang ada.

Cuma yang saya khuatir ialah jika akar tak jejak di bumi sedangkan pucuk pula gagal menggapai awan. Bagai kiambang yang terapung di air, terpaksa membahagi diri tiap kali biduk menghampiri.

Dalam keterbatasan itu makanya saya mengambil suatu keputusan untuk mengasingkan dan menghimpun penulisan saya kepada beberapa bahagian:

1) tulisan-tulisan berbentuk berita dan isu semasa akan kekal dalam blog
Waadat.

2)
'Cheguman Online' menjadi wadah untuk saya berinteraksi lebih rapat dengan anda semua melalui tulisan-tulisan berbentuk perkongsian pengalaman, perasaan, pandangan hidup termasuk metakognitif serta falsafah.

3) wacana pendidikan dimuatkan dalam blog
4arif2010.

4) petua, ramuan, rawatan alternatif, dan perubatan herba tradisional kekal di blog
Morhabshi.
Ertinya saya akan menulis dalam empat medan blog berbeza mengikut kritia masing-masing. Semua tajuk-tajuk dan intro setiap entri saya sisipkan di sebelah kiri blog ini agar para pengunjung boleh menyemak entri terkini serta membuat pilihan bacaan.

Dalam pada itu saya akan terus menulis dalam blog-blog lain selaku penulis jemputan. Semuanya saya paparkan di sebelah kiri blog ini. Semua hasil tulisan tersebut akan dikumpulkan secara automatik dalam blog 'Cheguman Online'.

Hal ini bermakna blog 'Cheguman Online' akan menjadi blog sehenti atau portal yang berfungsi memaparkan semua aktiviti saya dalam talian, termasuk Face Book dan sebagainya.

Akhir kata saya dengan rendah diri mengharapkan sahabat-sahabat dan sekalian pengunjung untuk bertukar pendapat serta pandangan secara terbuka sambil mengamalkan etika murni rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan kalian semua sepanjang penglibatan saya dalam komuniti maya sejak 1999.

Ampun dan maaf jika terdapat kesalahan atau ketelanjuran bicara saya selama ini.

Salam 1 Malaysia.

Salam hormat,

Salam hormat,

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP