Minyak Morhabshi

Artikal terkini Cheguman dalam pelbagai blog

epik Siru dan Sari

Monday, August 30, 2010



Siru dan Sari sudah lama bejiran. Maksud saya, ibu bapa mereka. Malah jika diselusuri salasilah kluarga, mereka sebenarnya masih dikira bersaudara.

Pada suatu hari berkata Siru kepada Sari: "Tidak lama lagi aku akan memiliki rumah sendiri. Ya, sebuah rumah yang comel di suatu tempat yang indah."

Sari memandang kehairanan. "Bukankah engkau sudah mempunyai rumah sekarang?"

Siru tersenyum merenung arah perbukitan yang jauh berbalam dan berkata: "Ya, tetapi ia kepunyaan ibu bapaku. Nanti aku akan dewasa dan perlukan kehidupan sendiri."

Kegelisahan Sari malam itu mengundang simpati sang ibu. "Ia adalah proses yang normal, sayang. Sampai masanya setiap remaja akan meninggalkan keluarga bagi menempuh kehidupan yang lebih bermakna. Mereka akan berkahwin, berzuriat, dan membina generasi baru."

Pada suatu pagi Siru mendatangi Sari dengan riang. "Aku telah menemui sebuah kawasan yang selama ini hanya muncul dalam mimpiku. Aku pasti, di situlah nanti akan kubina sebuah teratak yang indah untuk kudiami bersama isteri dan anak-anak."

Sari mendiamkan diri namun dia sedar betapa resahnya hati di dalam. Dalam diam sempat dia menyimpan tekad dan hasrat.

Petang itu Sari menyusuri denai arah ke gunung sehingga tiba di pinggir sebatang kali. Deru air jeram, selirat belukar, bongkah-bongkah batu, suara unggas rimba, serta laungan mergastua membawanya ke sebuah dataran permai.

Terpegun Sari menyaksikan hamparan hijau di hadapannya. Terasa sayang untuk mencemar permaidani semulajadi itu dengan kakinya yang runcing.

"Ah! Inilah syurga impianku. Tiba-tiba dia teringatkan Siru. "Aku juga bakal mempunyai rumah sendiri".

Sari kembali ke rumah dengan ceria selepas membersihkan kawasan itu untuk dijadikan tapak rumah.

Keesokan harinya Siru sejak awal lagi sudah memudiki anak sungai. Perancangan asal ialah untuk membersihkan kawasan itu bagi menyediakan tapak rumah impiannya.

Namun Siru merasa hairan kerana tempat itu sudah dibersihkan. "Agaknya orang bunian telah mengetahui hasratku dan mereka pun membantu.

Siru segera mencari batang-batang kayu untuk dibuat tiang. Menjelang tengahari kerja memacak tiang selesai dan Siru segera kembali ke rumahnya.

Petang itu Sari tiba di tapak rumahnya dengan bersemangat. Dia terkejut melihat tiang-tiang sudah terpacak. "Nampaknya orang bunian telah menyedari hasratku dan mereka telah membantu.

Sari segera mengumpulkan ranting-ranting untuk dijadikan lantai. Sebelum senja tiba, kerja-kerja itupun selesai.

Pagi esoknya Siru kembali menyambung tugasan. Dia amat gembira kerana orang bunian sentiasa membantu. Dia berpuas hati dengan keadaan lantai yang kemas dan selesa.

Siru masuk ke hutan mencari buluh dan rumbia. Menjelang tengahari dia melonggokkan bahan-bahan tersebut bagi melengkapkan rumahnya.

Seperti biasa, Sari tiba pada waktu pagi. Dia terpegun melihat peralatan yang bertimbun. "nampaknya bahan untuk membuat dinding dan bumbung sudah ada. Terima kasih orang bunian." Ujar Sari dengan riang.

Ketika matahari tegak di puncak rimba kerja-kerja anyaman dan sisipan atap pun selesai. Sari pulang ke rumah dengan gembira.

Petangnya seperti biasa Siru tiba sambil meneka-neka apakah lagi yang telah disiapkan orang bunian.

"Wah! Cantiknya anyaman ini. Nampaknya tugas aku cuma memasang bumbung dan dinding." bisiknya sendirian.

Sebelum malam berlabuh. Siru selesai memasang bumbung rumahnya. Dia tidak perlu risaukan bahagian dinding kerana yakin orang bunian akan menyudahkan semuanya.

Memang benar. Ketika Siru tiba petang esoknya, dia mendapati semua dinding sudah siap dipasang. Tanpa berlengah Siru terus masuk ke dalam rumahnya.

Alangkah terperanjatnya Siru apabila mendapati seekor rusa sedang nyenyak tidur di situ. lebih terkejut lagi apabila dicamnya bahawa rusa betina itu adalah Sari!

"Hei, berani kau mencerobuh rumahku." Tempik Siru.

Sari yang sedang lena bingkas bangun dan turut menjerit: "Siru? Apa kau buat di sini? Kenapa menjerit di dalam rumahku?"

"Rumah kau? Aku yang membinanya setiap petang dengan bantuan orang bunian, kau kata rumah kau?" Siru membentak.

"Memang ini rumahku. Setiap pagi aku membinanya sendirian. Err.. Maksudku, dengan bantuan orang bunian." Siru mempertahankan dirinya.

"Orang bunian?" Tiba-tiba mereka menjerit serentak kemudian terdiam.

"Cuba kau ceritakan bagaimana kau membina rumah ini." Siru bersuara.

Sari menelan liur. "Pada suatu pagi aku menemui tempat ini dan kubersihkan. Pada pagi esoknya aku datang lagi dan kudapati tiang-tiang sudah terpacak. Lalu aku teringat kau pernah memberitahu bahawa apabila kita ikhlas melakukan sesuatu maka orang bunian akan menyelesaikan yang sebahagian lagi? Setiap kali aku membina satu bahagian, keesokan harinya satu bahagian lagi siap sendirinya."

Siru merenung Sari sambil tersenyum. "Setiap petang aku membina sebahagian rumah ini dan mendapati sebahagian lagi disiapkan orang bunian. Ah, rupa-rupanya engkaulah yang kusangka orang bunian itu."

Sari memandang Siru dengan mata bersinar. "Kalau begitu kita akan berkongsi rumah ini."

Tiba-tiba Sari tunduk sayu. "Bukankah kau membina rumah ini untuk isteri dan anak-anakmu? Ia agak kecil untuk aku tinggal bersama." Suara Sari hampir tidak kedengaran.

"Benar. Inilah rumah yang kuimpikan untuk isteri dan anak-anakku tetapi pernahkah aku memberitahumu bahawa aku tidak mempunyai calon selain dirimu?

Sari terkedu dan serta merta terasa darah segar mengalir ke segenap urat tubuhnya, menjalar ke muka dan menukar rona wajah menjadi kemerahan.

Tiba-tiba dirasanya seluruh rimba ikut menyetujui lamaran itu.

;;;;;;;;;

Kisah di atas sebenarnya adaptasi daripada sebuah buku cerita kanak-kanak yang pernah saya baca lebih 10 tahun lalu. Pernah saya ceritakan pada anak-anak sambil melayani mereka tidur. Saya paparkan semula di sini menggunakan gaya bahasa sendiri untuk kita berkongsi mesejnya.

Namun apa mesejnya? Banyak. Saya percaya para pengunjung budiman dapat mengesan pelbagai pengajaran daripada kisah tersebut.

Daripada sekian banyak amanat yang terdapat dalam cerita tadi saya ingin menarik perhatian pada baris berikut:

"Lalu aku teringat kau pernah memberitahu bahawa apabila kita ikhlas melakukan sesuatu maka orang bunian akan menyelesaikan yang sebahagian lagi? Setiap kali aku membina satu bahagian, keesokan harinya satu bahagian lagi siap dengan sendirinya."


Read more...

Yang paling diminati

Latar belakang blog Cheguman Online

Baru-baru ini Panglima Perang Cyber, YDP BPN menegur saya:

"Kenapa Cheguman tidak menulis macam dulu?"

Saya termenung seketika dengan teguran tersebut. Apa perbezaannya? Apa yang kurang? Apa yang istimewanya dahulu?

Sejenak saya menoleh dan merenung kembali jejak perjalanan Demang Lebar Daun mengemudi Waadat sejak Mac 2008. Secara jujur saya akui sering tersepit antara kualiti dengan kuantiti. Hambatan terhadap populariti bagi menarik seramai mungkin khalayak pembaca sering mengorbankan kualiti persembahan.

Barangkali ia suatu ironi namun itulah hakikatnya. Persaingan merebut pengunjung mengasak para blogger memanipulasi isu sebanyak mungkin. Kebanyakan blogger perlu membuat 'update' sekerap yang boleh, termasuk menggunakan tajuk-tajuk sensasi.


Demikian juga diri ini. Dalam usaha meletakkan Waadat dalam senarai teratas 'blog list', hasil tulisan berbentuk analisis dan pemikiran metakognitif telah bercampur dengan artikal-artikal berbentuk berita dan komentar terhadap isu semasa.

Ibarat kain cukin yang ditarik ke atas terbuka di bawah ditutup bawah atas terbuka maka saya cuba seupaya mungkin memaksimum kemampuan diri dicelah kekangan yang ada.

Cuma yang saya khuatir ialah jika akar tak jejak di bumi sedangkan pucuk pula gagal menggapai awan. Bagai kiambang yang terapung di air, terpaksa membahagi diri tiap kali biduk menghampiri.

Dalam keterbatasan itu makanya saya mengambil suatu keputusan untuk mengasingkan dan menghimpun penulisan saya kepada beberapa bahagian:

1) tulisan-tulisan berbentuk berita dan isu semasa akan kekal dalam blog
Waadat.

2)
'Cheguman Online' menjadi wadah untuk saya berinteraksi lebih rapat dengan anda semua melalui tulisan-tulisan berbentuk perkongsian pengalaman, perasaan, pandangan hidup termasuk metakognitif serta falsafah.

3) wacana pendidikan dimuatkan dalam blog
4arif2010.

4) petua, ramuan, rawatan alternatif, dan perubatan herba tradisional kekal di blog
Morhabshi.
Ertinya saya akan menulis dalam empat medan blog berbeza mengikut kritia masing-masing. Semua tajuk-tajuk dan intro setiap entri saya sisipkan di sebelah kiri blog ini agar para pengunjung boleh menyemak entri terkini serta membuat pilihan bacaan.

Dalam pada itu saya akan terus menulis dalam blog-blog lain selaku penulis jemputan. Semuanya saya paparkan di sebelah kiri blog ini. Semua hasil tulisan tersebut akan dikumpulkan secara automatik dalam blog 'Cheguman Online'.

Hal ini bermakna blog 'Cheguman Online' akan menjadi blog sehenti atau portal yang berfungsi memaparkan semua aktiviti saya dalam talian, termasuk Face Book dan sebagainya.

Akhir kata saya dengan rendah diri mengharapkan sahabat-sahabat dan sekalian pengunjung untuk bertukar pendapat serta pandangan secara terbuka sambil mengamalkan etika murni rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan kalian semua sepanjang penglibatan saya dalam komuniti maya sejak 1999.

Ampun dan maaf jika terdapat kesalahan atau ketelanjuran bicara saya selama ini.

Salam 1 Malaysia.

Salam hormat,

Salam hormat,

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP