Minyak Morhabshi

Artikal terkini Cheguman dalam pelbagai blog

pertembungan ulama kerajaan, ulama pembangkang

Saturday, May 29, 2010



Dalam catatan sejarah manusia, baik Islam, Kristian, mahupun berkenaan idealisme; pertentangan pendapat tidak pernah berlaku antara yang alim dengan yang jahil. Pertelingkahan juga tidak akan berlarutan antara sijahil dengan sidungu. Yang sering menimbulkan perdebatan sehingga berlarutan dan akhirnya memudharatkan ummat ialah perselisihan pendapat antara golongan yang dikategori sebagai alim ulama.

Saya meneliti perjalanan sejarah Melayu dan Islam; dari Muawiyah hinggalah Kesultanan Melaka. Saya melihat kerajaan-kerajaan Islam yang dirujuk sebagai dinasti itu tidak kalah dek serangan senjata asing sebaliknya sang musuh cuma melakukan ‘finishing’ pada sebuah keruntuhan. Dengan kata lain, kayu sudah reput dan cuma menunggu masa untuk rebah. Penjajah hanya datang menjentiknya.

Sebelum saya terbabas ke tajuk penjajahan eloklah kita fokus pada peranan kita sebagai muslim yang turut bertangungjawab menjaga agama, negara, dan bangsa (tetapi bukan tolong menolong dalam melakukan kezaliman).

Kebetulan saya sedang menelaah kitab tinggalan Hamka (Islam: Revolusi Ideologi & Keadilan Sosial). Hamka menitipkan fakta tentang penglibatan ulama dalam kerajaan tetapi bukan sebagai cerucuk yang meneguhkan bangunan sebaliknya sebagai ‘sokong yang membawa rebah’.

Sesiapapun yang membaca kitab tersebut akan sedar bahawa yang dimaksudkan Hamka ialah ulama yang menyokong kerajaan memerintah. Lebih tepat lagi, raja atau sultan atau khalifah.

Bagi saya; pendedahan Hamka berkisar ulama yang bernaung di bawah khalifah sedang berseteru dengan ulama yang bercanggah pendapat dengan mereka.

Dalam pada itu patut kita sedar bahawa Hamka menulis kitab tersebut sebelum 1950, yakni di ambang kemerdekaan Indonesia manakala Malaysia ketika itu masih ada 10 tahun lagi di bawah penjajah.

Saya ingin katakan bahawa tulisan Hamka tersebut tidaklah sia-sia. Di Indonesia, yakni di tanah kelahiran Hamka para pejuang mengaplikasi sepenuhnya saranan Hamka yang akhirnya menyaksikan pembubaran beberapa institusi raja. Kini, tidak ada seorangpun lagi raja yang berdaulat di republik tersebut.

Bagi saya, Indonesia terburu-buru lantaran sedang mencapai kemerdekaan.

Di Malaysia, negara yang menganugerahkan gelaran profesor kepada Hamka juga tidak ketinggalan mengambil intipati ajaran beliau bagi membina negara.

Namun Malaysia lebih bijak dengan mengambil hanya yang baik dan menolak yang tidak sesuai. Justeru kita dapati Malaysia tidak terus membuang sultan dan institusi kesultanan dan tidak pula mengekalkan sistem raja berkuasa mutlak. Malaysia memperkenalkan satu sistem yang lebih sederhana iaitu Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan.

Bagi mengelakkan artikal ini mengambil masa anda terlalu lama, Saya cadangkan kita melihat keberkesanan corak pemerintahan berdasarkan realiti, antara Malaysia dengan Indonesia.

Jika dilihat pada hasil bumi, apa yang ada di Malaysia, di Indonesia lebih-lebih lagi hasil mahsulnya. Begitu juga sumber tenaga; berpuluh kali ganda berbanding negara Malaysia, sesuai dengan keluasan tanah mereka.

Namun hari ini kita dapat melihat ramai rakyat Garuda itu terpaksa berdagang ke Malaysia mencari rezeki yang sepatutnya ada di mana-mana.

Maka Saya katakan bahawa dalam memilih sistem, kita sudah berada di landasan yang betul. Cuma masih ada ruang untuk diperelok lagi. Inilah yang nak kita lakukan bersama-sama: ulama dan umara.

Saya juga melihat PAS yang dibarisi golongan berpendidikan Islam adalah sebagai ’pembangkang’ yang mampu berperan dengan baik, sehinggalah kehadiran Anwar telah berjaya mempengaruhi PAS menukarkan UMNO dengan PKR sedangkan siapapun tahu yang PAS tetap akan seperti dulu juga.

Bagi yang kurang jelas, biarlah saya pamirkan kedudukan yang dirancang Anwar untuk politik Malaysia:

PKR akan menerajui kerajaan menggantikan UMNO. Berbeza dengan UMNO, orang Melayu tidak mampu menjadi suara penentu dalam PKR.
DAP akan berada pada posisi paling hampir dengan PKR dan bertindak mewakili kaum bukan Melayu. Dalam DAP, orang melayu seperti buih di tasik yang luas.
PAS akan menjadi penasihat agama kepada PKR dengan sokongan segelintir orang Melayu yang belum sempat memahami realiti politik negara.

Manakala UMNO akan bertindak sebagai pembangkang.

Realitinya, sebelum semua itu menjadi kenyataan orang Islam di Malaysia akan terus terpecah-pecah. Jika bernasib baik, kita akan mati dalam iman. Jika tidak, iman kita dan anak cucu kita akan diuji di hujung senapang sebagaimana berlaku di Andalusia, Palestin, Afghanistan, Bosnia, Iraq, dan sebagainya.

Para pejuang akan mati syahid dan masuk syurga manakala generasi seterusnya akan menukar agama.

Begitulah yang berlaku di Andalusia yang tapaknya kita panggil Sepanyol sekarang!

Bukankah sejarah sekadar menyalin catatan dirinya untuk ditampal semula di masa depan menjadi peristiwa baru?

Wallahu’alam.






foto:
no sultan today
Inno\'vision flickr.com

Read more...

dilema Melayu: bangsa bukan keutamaan

Friday, May 21, 2010


Artikal mutakhir saya berkenaan dimensi baru perjuangan Melayu mendapat sambutan luar jangkaan. Manakan tidak, setelah tiga kali dalam tiga hari berturut-turut disiarkan dalam Waadat, cuma menggamit tidak sampai 300 pengunjung!

Memang luar biasa sebab biasanya tidak kurang 300 pengunjung ke blog tersebut setiap hari.

Sumpah, saya tidak dapat mengesan puncanya. Adakah kerana kebetulan atau memang tajuknya yang gagal memikat pembaca? Penerimaan terhadap kandungan juga sudah tentu saya tidak tahu sebab jika tidak ramai yang membuka, bagaimana hendak membaca?

Saya nak tanya semula, benarkah kesimpulan yang saya buat bahawa orang Melayu bukanlah jenis yang mementingkan 'sebangsa' atau 'seagama'?

Dalam artikal tersebut, saya kemukakan satu peristiwa yang menunjukkan betapa orang Melayu menolak pendatang Indonesia walaupun sebangsa dengan mereka.

Saya juga tampilkan kenyataan bahawa orang Melayu tidak dapat menerima pendatang warga Bangladesh walaupun menganut agama yang sama.

Mungkin terlalu awal untuk bersetuju dengan saya hanya dengan fakta tersebut namun cuba lihat persoalan berikut:

1. Dalam memilih kedai (kecuali kedai makanan), adakah majoroti orang Melayu memilih kedai yang dimiliki orang Melayu atau memilih kedai yang kelihatan canggih, popular, dan berkualiti?

2. Ketika memilih produk, adakah harga, kualiti, dan jenama yang menjadi keutamaan atau pengeluar produk tersebut?

Saya harap anda benar-benar jujur menjawab persoalan di atas.

Ketika kereta Nasional dilancarkan, memang ramai yang membelinya tetapi bukan kerana semangat kebangsaan tetapi kerana harganya yang lebih murah dengan kualiti yang sesuai.

Namun apabila taraf hidup rakyat meningkat, ramai yang menjual kereta nasional dan membeli kereta import kerana lebih bergaya, canggih, dan meletakkan diri pemiliknya berbeza daripada orang lain. Perbezaan itu ditafsirkan sebagai unik manakala unik adalah modal untuk dinilai hebat.

Begitu juga apabila berdepan dengan keputusan bagi memilih bank untuk membiayai pembelian kenderaan; sekali lagi saya bertanya adakah orang Melayu melihat kepada pemilik bank atau kadar faedah yang dikenakan?

Saya rasa cukuplah dulu untuk kali ini. Walaupun kurang sambutan, saya akan teruskan juga perbincangan begini.

Terima kasih kerana anda masih mengikuti. Anda memang unik. Jumpa lagi.








foto:
lifeasawrite-up.blogsp
foto lelaki tua: foto.detik.com

Read more...

Memberi definisi baru dan mencari demensi baru dalam perjuangan



Kes 1
Pemuda berkulit sawo matang itu susup-sasap meloloskan diri merentas denai dalam belukar kecil. Tubuh tidak berbaju dan cuma berseluar pendek tanpa capal itu meredah semak samun menuju gigi air bah sebelum terjun ke dalam air keruh berbusa.

Di belakangnya, sorak-sorai berbelas anak muda menghambat anak dagang itu penuh ancaman.

Usaha pemuda Lombok itu membawanya ke kawasan perumahan di seberang paya yang agak terasing. Namun pelarian itu belum berakhir. Sebaik mendarat, sekumpulan pemuda sudah menunggu di situ.

'Mat Indon' itu sudah tidak mampu mengelak lagi. Bertubi-tubi hentakan, tumbukan dan sepak terajang hinggap di tubuhnya. Si Lombok menyeringai kesakitan.

Apa kesalahannya? Dia tidak merompak atau mencopet. Dia juga tidak melakukan sebarang jenayah. Kesalahannya ialah kerana bercinta dengan seorang gadis tempatan. Gadis itupun bukan isteri atau tunangan orang. Gadis itu adalah anak majikannya yang belum berpunya.

Pemuda Melayu suku Lombok berwarga Indonesia itu dihenyak bertalu-talu oleh pemuda tempatan yang juga berbangsa Melayu. Di samping itu, yang dipukul dan yang memukul juga sama-sama beragama Islam.

Saya tidak katakan pemuda itu bebas daripada dosa seratus peratus. Setidak-tidaknya, bertemujanji dengan gadis bukan muhrim adalah satu kesalahan kerana mampu mengundang zina.

Namun saya percaya, jika dia anak tempatan, tidak seteruk itu dia dikerjakan. Bahkan sehingga termengandung pun masih dimaafkan.

Kes 2
Abdul Rauf tiba di Malaysia lebih 5 tahun lalu. Kemiskinan keluarga di negara asal memaksanya meredah samudera bagi mencari penghidupan yang lebih baik.

Pemuda Bangladesh itu memilih Malaysia bukan sahaja kerana peluang pekerjaan yang melimpah ruah di bumi bertuah ini malah kerana majoriti penduduknya menganut agama yang sama dengannya.

Abdul Rauf berharap semangat ukhwah Islamiyah akan memudahkan dia diterima masyarakat tempatan.

Jangkaan Abdul Rauf tidak jauh meleset. Dia diterima dengan baik oleh penduduk tempatan. Dia diberi pekerjaan di sebuah pertempatan. Sebagai buruh kasar, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk mencuci tandas di sebuah stesen minyak dan memotong rumput di tepi jalan. Padahal dia mempunyai kemahiran dalam bidang teknikal. Sayangnya kerajaannya tidak mampu menyediakan pekerjaan untuknya.

Namun pada suatu hari, Abdul Rauf dibelasah hingga separuh mati oleh penduduk di situ setelah hubungan cintanya dengan gadis tempatan terbongkar. Sedangkan gadis itu juga bukan kepunyaan siapa-siapa.

Nampaknya Abdul Rauf tidak diterima sepenuhnya oleh orang Islam di Malaysia melainkan hanya sebagai kuli atau budak suruhan.


Kisah pertama tadi adalah pengalaman saya secara langsung sewaktu di kampung dulu. Manakala kisah kedua hanyalah imaginasi atas andaian Saya jika hal yang sama berlaku terhadap warga asing. Tak begitupun, cinta terhalang antara 'Mat Bangla' dengan gadis tempatan memang banyak berlaku.

Panggilan 'Mat Indon' dan 'Mat Bangla' juga adalah sesuatu yang negatif. Walaupun istilah itu tidak diambil daripada perkataan yang jijik atau jelek, namun terdapat unsur ejekan dan penghinaan halus di situ.

Gelaran bertujuan merendah-rendahkan itu menunjukkan walaupun sebangsa dan seagama namun ia bukan lesen untuk menggabung diri dalam kelompok manusia yang mendifinisikan diri mereka sebagai Melayu.


Hipotesis

Berdasarkan dua kes kecil tetapi bukan terpencil di atas, Saya kemukakan satu hipotesis:
Jika orang Melayu mengutamakan bangsa maka mereka tidak akan membantah perkahwinan antara 'Mat Indon' dengan gadis tempatan.

Begitu juga jika orang Melayu mengutamakan faktor 'seagama', mereka akan menerima pemuda Bangla menjalin ikatan dengan gadis Melayu.


Persoalan baru

Jika andaian saya itu benar, kita perlu bertanya kembali; adakah perjuangan membela orang Melayu sejak sebelum merdeka hingga kini bermotifkan perkauman, agama, atau faktor lain?

Adakah penyatuan orang Melayu pada 1946 sehingga membawa pada kemerdekaan adalah berasaskan faktor satu bangsa dan satu agama? Adakah itu sebab utamanya atau ada sebab lain yang tidak kurang pentingnya? Mungkinkah persamaan bangsa dan agama hanyalah satu kebetulan atau faktor yang diketengahkan bagi memudahkan usaha menarik sokongan?


Kesimpulan

Saya mencadangkan kesimpulan bahawa perjuangan ini bukan perjuangan bangsa mahupun agama. Ia adalah perjuangan sekumpulan manusia yang berkongsi nasib dalam perkara ekonomi, periuk nasi dan kantung perut; soal keinginan menikmati kekayaan negara; soal sakit hati kerana dipinggirkan daripada turut merasai kecanggihan teknologi, komunikasi serta prasarana; soal agihan yang tidak sekata.

Ini soal keadilan dan hak sebagai manusia bersesuaian dengan sejarah yang melatari garis hayat manusia.

Secara fitrah, manusia-manusia terpinggir itu segera bertemu sesama sendiri dan berkongsi kekecewaan yang sama. Seterusnya mereka bergabung dan mencipta definisi dan identiti kelompok mereka.

Kelompok tersebut diberi nama 'Melayu' dan diperincikan cirinya dalam perlembagaan negara.

Paling penting, mereka berada dalam kantung sejarah yang sama.


Dimensi baru perjuangan

Barangkali kita perlu mendefinisi semula kelompok manusia yang berada di negara kita ini dan melihat dengan cermat sebab sebenar perjuangan mereka. Barangkali dari situ kita akan menemukan semula jawapan sebenar dan tidak lagi terperangkap dengan tohmahan memperjuangkan perkauman.






Foto:
Dimension jpg
uhaweb.hartford.edu

Read more...

dua berita yang tidak menarik

Sunday, May 2, 2010


Sambil menunggu roti canai pagi ini saya menyelak-nyelak akhbar Melaka Hari Ini yang memang tersedia di warung itu.

Dilihat pada nilai berita, tidak ada yang menariknya akhbar ini. Hanya berita biasa. Berita bantuan rakyat miskin, anak yatim, baiki jalan, jadual ceramah agama, gotong royong, majlis perasmian, dan yang sewaktu dengannya. Jika diberi percuma pun belum tentu orang membaca. Tiada yang sensasi.

Berita utama memaparkan kejayaan polis menumpaskan kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai 'Geng Pecah Rumah Hanafi'. Tajuk yang diharapkan dapat menarik sedikit perhatian khalayak.

Bagi menambahkan kebosanan anda dengan berita statik yang penuh statistik ini, mari kita perhatikan faktanya:

Kumpulan tersebut dianggotai 4 orang rakyat tempatan berusia 25-34 tahun dan sudah bergerak lebih 4 tahun sejak 2004. Operasi mereka tertumpu pada kedai runcit dan restauran sekitar Melaka Tengah dan Jasin melibatkan kira-kira RM50,000 hasil daripada 29 projek haram mereka. (suatu usaha yang tak berbaloi untuk tempoh EMPAT tahun!)

Turut ditahan ialah 3 pembeli barang curi dan polis berjaya menemui 222 tong gas, 1152 tin minuman, minyak masak, susu, TV, radio, periuk nasi, beras, gula, dan wang tunai RM5280. (Lagi lah tak berbaloi. Mencuri tong gas bukanlah kerja yang mudah).

Saya masih menganggap tiada yang menarik pada berita tersebut sehingga menemui berita lain di dalam akhbar yang sama.

'Penyelidik USM cipta bahan utama ubat sakit jantung'

Menurut Prof Abd Latif Ahmad, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM, bahan utama iaitu L-homophenylalanine dihasilkan menggunakan kaedah biopemangkin gabungan teknologi enzim dan membran yang jauh lebih selamat berbanding kaedah yang digunakan selama ini.

Beliau bersama Dr Syamsul Rizal Abd Syukor dan Oh Pei Ching berjaya menemui kaedah tersebut hasil kajian mereka selama 4 tahun dengan perbelanjaan RM500,000. Kini ia boleh dijual pada harga RM2500 berbanding bahan lama yang diimport pada harga RM9,000 hingga RM11,000!

Walaupun berita tersebut dianggap tidak menarik, tidak sensasi, dan tidak popular namun bagi saya ia cukup bermakna. Ia melibatkan dua kumpulan manusia yang memburu kejayaan masing-masing, dan ada hubungan dengan manusia lain.

Perhatikan fakta dan angka-angka dalam kedua-dua berita dan renungkanlah sejenak dan berhenti sebentar dari berfikir tentang politik.

Jangan lupa, perhatikan angka RM50,000 (jadi penjenayah) dan RM500,000 (jadi penyelidik). Bukankah lebih untung menjadi orang baik?

Terpulang pada kita untuk masuk dalam kumpulan yang mana?






foto hiasan cuma:
tong gas2 150x150 jpg saujanautama3.com

Read more...

Yang paling diminati

Latar belakang blog Cheguman Online

Baru-baru ini Panglima Perang Cyber, YDP BPN menegur saya:

"Kenapa Cheguman tidak menulis macam dulu?"

Saya termenung seketika dengan teguran tersebut. Apa perbezaannya? Apa yang kurang? Apa yang istimewanya dahulu?

Sejenak saya menoleh dan merenung kembali jejak perjalanan Demang Lebar Daun mengemudi Waadat sejak Mac 2008. Secara jujur saya akui sering tersepit antara kualiti dengan kuantiti. Hambatan terhadap populariti bagi menarik seramai mungkin khalayak pembaca sering mengorbankan kualiti persembahan.

Barangkali ia suatu ironi namun itulah hakikatnya. Persaingan merebut pengunjung mengasak para blogger memanipulasi isu sebanyak mungkin. Kebanyakan blogger perlu membuat 'update' sekerap yang boleh, termasuk menggunakan tajuk-tajuk sensasi.


Demikian juga diri ini. Dalam usaha meletakkan Waadat dalam senarai teratas 'blog list', hasil tulisan berbentuk analisis dan pemikiran metakognitif telah bercampur dengan artikal-artikal berbentuk berita dan komentar terhadap isu semasa.

Ibarat kain cukin yang ditarik ke atas terbuka di bawah ditutup bawah atas terbuka maka saya cuba seupaya mungkin memaksimum kemampuan diri dicelah kekangan yang ada.

Cuma yang saya khuatir ialah jika akar tak jejak di bumi sedangkan pucuk pula gagal menggapai awan. Bagai kiambang yang terapung di air, terpaksa membahagi diri tiap kali biduk menghampiri.

Dalam keterbatasan itu makanya saya mengambil suatu keputusan untuk mengasingkan dan menghimpun penulisan saya kepada beberapa bahagian:

1) tulisan-tulisan berbentuk berita dan isu semasa akan kekal dalam blog
Waadat.

2)
'Cheguman Online' menjadi wadah untuk saya berinteraksi lebih rapat dengan anda semua melalui tulisan-tulisan berbentuk perkongsian pengalaman, perasaan, pandangan hidup termasuk metakognitif serta falsafah.

3) wacana pendidikan dimuatkan dalam blog
4arif2010.

4) petua, ramuan, rawatan alternatif, dan perubatan herba tradisional kekal di blog
Morhabshi.
Ertinya saya akan menulis dalam empat medan blog berbeza mengikut kritia masing-masing. Semua tajuk-tajuk dan intro setiap entri saya sisipkan di sebelah kiri blog ini agar para pengunjung boleh menyemak entri terkini serta membuat pilihan bacaan.

Dalam pada itu saya akan terus menulis dalam blog-blog lain selaku penulis jemputan. Semuanya saya paparkan di sebelah kiri blog ini. Semua hasil tulisan tersebut akan dikumpulkan secara automatik dalam blog 'Cheguman Online'.

Hal ini bermakna blog 'Cheguman Online' akan menjadi blog sehenti atau portal yang berfungsi memaparkan semua aktiviti saya dalam talian, termasuk Face Book dan sebagainya.

Akhir kata saya dengan rendah diri mengharapkan sahabat-sahabat dan sekalian pengunjung untuk bertukar pendapat serta pandangan secara terbuka sambil mengamalkan etika murni rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan kalian semua sepanjang penglibatan saya dalam komuniti maya sejak 1999.

Ampun dan maaf jika terdapat kesalahan atau ketelanjuran bicara saya selama ini.

Salam 1 Malaysia.

Salam hormat,

Salam hormat,

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP