(Menginsafi Sebab Penciptaan Diri)
Kenalkah anda tumbuhan ini? Ada yang namakannya Bunga Pukul 10.
Sekitar 10.00 pagi ia akan mengembangkan kelopak bunganya, memberi kebahagiaan pada orang yang memandang sebelum menguncup dan gugur ke bumi menjelang tengahari.
Petang, meski tidak lagi terampil cantik namun diam-diam ranting-rantingnya menghulur putik baru tanpa manusia sedar.
Esok, ia akan mulai sekali lagi kitaran hidup dan mengumpan manusia untuk terus menyayanginya.
Dalam pada itu tak ramai manusia sedar dedaunnya melepaskan oksigen sambil menyerap karbon dioksida bagi mengimbangi ekosistem bumi.
Demikian setiap hari sang pohon mengabdi diri pada Yang Esa sehinggalah ajal menjemputnya kembali mereput menjadi tanah.
Adakah kita sepatuh dan setaat itu?
Kita juga makhluk sebagaimana pokok. Namun kita tidak terpacak di satu-satu tempat sampai mati.
Kita diberi peluang untuk ke sana ke sini sesuka hati.
Mempunyai kaki menjadikan manusia boleh bergerak ke sana ke mari. Namun ia masih belum cukup tanpa mata yang menjadi radar untuk mengetahui lokasi yang dituju.
Mata juga mengesan objek-objek yang menjadi penghalang dan mengenal tanda-tanda yang membawa ke tempat yang dituju.
Tidak cukup dengan mata, kita juga diberi telinga bagi mengesan objek-objek yang mengeluarkan bunyi.
Kita juga dibekalkan kulit untuk mengesan sesuatu yang tersentuh, hidung yang bertindak mengenali bau, dan lidah sebagai deria yang peka dengan rasa.
Itulah radar kita.
Kelima-lima alat pengesan tersebut bertanggung jawab menghantar maklumat mengikut pengkhususan masing-masing ke pusat pemprosesan yang dinamakan otak.
Ada masanya MATA yang mulakan dulu.
Ada sesuatu yang terlayar di hadapannya lalu maklumat itu dihantar ke otak untuk dianalisis. Ciri-ciri objek dikenalpasti dan diberi kod khas agar semua sistem mengenalinya untuk tindakan selanjutnya.
Walaupun maklumat telah lengkap namun tidak semua disusuli tindakan proaktif. Selalunya disimpan sahaja di dalam memori.
Cuma apabila dirasakan penting maka barulah otak menggerakkan anggota tertentu untuk bertindak.
Persoalannya, bahagian manakah pada diri kita yang membuat keputusan bahawa sesuatu perkara itu PENTING dan perlukan tindakan?
Di sinilah perbincangan kita bermula.
Semua manusia tidak terlepas daripada membuat keputusan namun ada beberapa tingkat keputusan yang biasanya ditanggapi sebagai:
Tindakan bodoh.
Tindakan normal.
Tindakan bijak.
Tindakan bijaksana.
Mana satukah pilihan kita? Adakah kita akan menjadi seperti pokok Bunga Pukul 10.00 tadi yang akur dengan faktor penciptaan diri atau seperti haiwan liar yang membaham mangsa sesuka hati?
Read more...