Memberi definisi baru dan mencari demensi baru dalam perjuangan
Friday, May 21, 2010
Kes 1
Pemuda berkulit sawo matang itu susup-sasap meloloskan diri merentas denai dalam belukar kecil. Tubuh tidak berbaju dan cuma berseluar pendek tanpa capal itu meredah semak samun menuju gigi air bah sebelum terjun ke dalam air keruh berbusa.
Di belakangnya, sorak-sorai berbelas anak muda menghambat anak dagang itu penuh ancaman.
Usaha pemuda Lombok itu membawanya ke kawasan perumahan di seberang paya yang agak terasing. Namun pelarian itu belum berakhir. Sebaik mendarat, sekumpulan pemuda sudah menunggu di situ.
'Mat Indon' itu sudah tidak mampu mengelak lagi. Bertubi-tubi hentakan, tumbukan dan sepak terajang hinggap di tubuhnya. Si Lombok menyeringai kesakitan.
Apa kesalahannya? Dia tidak merompak atau mencopet. Dia juga tidak melakukan sebarang jenayah. Kesalahannya ialah kerana bercinta dengan seorang gadis tempatan. Gadis itupun bukan isteri atau tunangan orang. Gadis itu adalah anak majikannya yang belum berpunya.
Pemuda Melayu suku Lombok berwarga Indonesia itu dihenyak bertalu-talu oleh pemuda tempatan yang juga berbangsa Melayu. Di samping itu, yang dipukul dan yang memukul juga sama-sama beragama Islam.
Saya tidak katakan pemuda itu bebas daripada dosa seratus peratus. Setidak-tidaknya, bertemujanji dengan gadis bukan muhrim adalah satu kesalahan kerana mampu mengundang zina.
Namun saya percaya, jika dia anak tempatan, tidak seteruk itu dia dikerjakan. Bahkan sehingga termengandung pun masih dimaafkan.
Kes 2
Abdul Rauf tiba di Malaysia lebih 5 tahun lalu. Kemiskinan keluarga di negara asal memaksanya meredah samudera bagi mencari penghidupan yang lebih baik.
Pemuda Bangladesh itu memilih Malaysia bukan sahaja kerana peluang pekerjaan yang melimpah ruah di bumi bertuah ini malah kerana majoriti penduduknya menganut agama yang sama dengannya.
Abdul Rauf berharap semangat ukhwah Islamiyah akan memudahkan dia diterima masyarakat tempatan.
Jangkaan Abdul Rauf tidak jauh meleset. Dia diterima dengan baik oleh penduduk tempatan. Dia diberi pekerjaan di sebuah pertempatan. Sebagai buruh kasar, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk mencuci tandas di sebuah stesen minyak dan memotong rumput di tepi jalan. Padahal dia mempunyai kemahiran dalam bidang teknikal. Sayangnya kerajaannya tidak mampu menyediakan pekerjaan untuknya.
Namun pada suatu hari, Abdul Rauf dibelasah hingga separuh mati oleh penduduk di situ setelah hubungan cintanya dengan gadis tempatan terbongkar. Sedangkan gadis itu juga bukan kepunyaan siapa-siapa.
Nampaknya Abdul Rauf tidak diterima sepenuhnya oleh orang Islam di Malaysia melainkan hanya sebagai kuli atau budak suruhan.
Kisah pertama tadi adalah pengalaman saya secara langsung sewaktu di kampung dulu. Manakala kisah kedua hanyalah imaginasi atas andaian Saya jika hal yang sama berlaku terhadap warga asing. Tak begitupun, cinta terhalang antara 'Mat Bangla' dengan gadis tempatan memang banyak berlaku.
Panggilan 'Mat Indon' dan 'Mat Bangla' juga adalah sesuatu yang negatif. Walaupun istilah itu tidak diambil daripada perkataan yang jijik atau jelek, namun terdapat unsur ejekan dan penghinaan halus di situ.
Gelaran bertujuan merendah-rendahkan itu menunjukkan walaupun sebangsa dan seagama namun ia bukan lesen untuk menggabung diri dalam kelompok manusia yang mendifinisikan diri mereka sebagai Melayu.
Hipotesis
Berdasarkan dua kes kecil tetapi bukan terpencil di atas, Saya kemukakan satu hipotesis:
Jika orang Melayu mengutamakan bangsa maka mereka tidak akan membantah perkahwinan antara 'Mat Indon' dengan gadis tempatan.
Begitu juga jika orang Melayu mengutamakan faktor 'seagama', mereka akan menerima pemuda Bangla menjalin ikatan dengan gadis Melayu.
Persoalan baru
Jika andaian saya itu benar, kita perlu bertanya kembali; adakah perjuangan membela orang Melayu sejak sebelum merdeka hingga kini bermotifkan perkauman, agama, atau faktor lain?
Adakah penyatuan orang Melayu pada 1946 sehingga membawa pada kemerdekaan adalah berasaskan faktor satu bangsa dan satu agama? Adakah itu sebab utamanya atau ada sebab lain yang tidak kurang pentingnya? Mungkinkah persamaan bangsa dan agama hanyalah satu kebetulan atau faktor yang diketengahkan bagi memudahkan usaha menarik sokongan?
Kesimpulan
Saya mencadangkan kesimpulan bahawa perjuangan ini bukan perjuangan bangsa mahupun agama. Ia adalah perjuangan sekumpulan manusia yang berkongsi nasib dalam perkara ekonomi, periuk nasi dan kantung perut; soal keinginan menikmati kekayaan negara; soal sakit hati kerana dipinggirkan daripada turut merasai kecanggihan teknologi, komunikasi serta prasarana; soal agihan yang tidak sekata.
Ini soal keadilan dan hak sebagai manusia bersesuaian dengan sejarah yang melatari garis hayat manusia.
Secara fitrah, manusia-manusia terpinggir itu segera bertemu sesama sendiri dan berkongsi kekecewaan yang sama. Seterusnya mereka bergabung dan mencipta definisi dan identiti kelompok mereka.
Kelompok tersebut diberi nama 'Melayu' dan diperincikan cirinya dalam perlembagaan negara.
Paling penting, mereka berada dalam kantung sejarah yang sama.
Dimensi baru perjuangan
Barangkali kita perlu mendefinisi semula kelompok manusia yang berada di negara kita ini dan melihat dengan cermat sebab sebenar perjuangan mereka. Barangkali dari situ kita akan menemukan semula jawapan sebenar dan tidak lagi terperangkap dengan tohmahan memperjuangkan perkauman.
Foto:
Dimension jpg
uhaweb.hartford.edu
0 comments:
Post a Comment