Minyak Morhabshi

Artikal terkini Cheguman dalam pelbagai blog

memang spesisnya begitu

Tuesday, September 21, 2010




Dr Ramdhan membina sebuah kolam di belakang rumahnya. Pelbagai spesis ikan dimasukkan ke dalam kolam itu.

Setiap hari, apabila berkelapangan beliau akan bersantai di situ memerhatikan dunia akuistik yang dibinanya. Tenang dan senang hati beliau melihat ikan-ikan berenang-renang di dalam air yang jernih.

Dr Ramdhan berusaha menjadikan kolam itu sebagaimana habitat semulajadi untuk haiwan peliharaannya. Beliau mahu ikan-ikan itu hidup dengan gembira dan bahagia.

Pada suatu hari Dr Ramdhan membeli seekor ikan kelisa yang cantik. Beliau memasukkan ikan itu ke dalam kolamnya. Beberapa hari kemudian beliau mula menyedari ikan-ikan kecil semakin berkurangan. Setelah dihendap, tahulah beliau bahawa ikan kelisa yang baru dibeli telah membaham seekor demi seekor ikan-ikan itu.

Keharmonian kolam telah tergugat. Ia sudah tidak selamat lagi untuk didiami.

Dr Ramdhan berasa kecewa. Beliau berfikir cara terbaik untuk ikan-ikannya. Beliau sayangkan semua ikan-ikan itu termasuk Kelisa yang membuat onar. Tambahan pula ikan Kelisa tersebut dibelinya dengan harga yang amat mahal.

Seluruh isi kolam itu belum menyamai harga seekor ikan Kelisa!

Dr Ramdhan mengambil keputusan untuk memberi pengajaran pada si kelisa. Dia membeli sebiji balang kaca dan memasukkannya ke tengah-tengah kolam. Ikan kelisa dikurung di dalam bekas kaca tersebut dan diberi makan.

Dengan kata lain si kelisa telah dipenjarakan.

Walaupun dia masih berada di dalam kolam namun dia tidak boleh bergerak bebas. Dia hanya mampu melihat ikan-ikan lain berenang dan bermain, menjelajah ke seluruh ceruk kolam.

Dr Ramdhan berharap ikan Kelisa itu akan insaf dan mengubah sikapnya.

Setelah seminggu, Dr Ramdhan melepaskan ikan kelisa dari penjaranya. Dia percaya hukuman itu sudah cukup memberi kesedaran dan pengajaran.

Namun beberapa hari kemudian Dr Ramdhan mendapati kejadian lalu berulang kembali. Ikan-ikan kecil kembali menyusut. Sudah beberapa kali Dr Ramdhan menyaksikan sendiri si kelisa membedal ikan lain dengan lahapnya.

Si kelisa diberkas dan dijatuhkan hukuman penjara sekali lagi. Kali ini hukuman dilanjutkan selama sebulan. Dr Ramdhan berharap si kelisa akan merasa serik.

Sayangnya selepas dibebaskan sikap Kelisa langsung tidak berubah. Bahkan selepas hukuman ditambah sehingga tiga bulan pun tidak mampu mengubah tabiatnya yang ketagihan memakan ikan lain.

Akhirnya Dr Ramdhan mengambil keputusan baru. Dia mengeluarkan balang kaca dari dalam kolam dan menyerahkan ikan itu kepada isterinya.

Tengahari itu juga Dr Ramdhan sekeluarga makan nasi berlaukkan asam pedas tempoyak ikan kelisa!

Read more...

Yang paling diminati

Latar belakang blog Cheguman Online

Baru-baru ini Panglima Perang Cyber, YDP BPN menegur saya:

"Kenapa Cheguman tidak menulis macam dulu?"

Saya termenung seketika dengan teguran tersebut. Apa perbezaannya? Apa yang kurang? Apa yang istimewanya dahulu?

Sejenak saya menoleh dan merenung kembali jejak perjalanan Demang Lebar Daun mengemudi Waadat sejak Mac 2008. Secara jujur saya akui sering tersepit antara kualiti dengan kuantiti. Hambatan terhadap populariti bagi menarik seramai mungkin khalayak pembaca sering mengorbankan kualiti persembahan.

Barangkali ia suatu ironi namun itulah hakikatnya. Persaingan merebut pengunjung mengasak para blogger memanipulasi isu sebanyak mungkin. Kebanyakan blogger perlu membuat 'update' sekerap yang boleh, termasuk menggunakan tajuk-tajuk sensasi.

Demikian juga diri ini. Dalam usaha meletakkan Waadat dalam senarai teratas 'blog list', hasil tulisan berbentuk analisis dan pemikiran metakognitif telah bercampur dengan artikal-artikal berbentuk berita dan komentar terhadap isu semasa.

Ibarat kain cukin yang ditarik ke atas terbuka di bawah ditutup bawah atas terbuka maka saya cuba seupaya mungkin memaksimum kemampuan diri dicelah kekangan yang ada.

Cuma yang saya khuatir ialah jika akar tak jejak di bumi sedangkan pucuk pula gagal menggapai awan. Bagai kiambang yang terapung di air, terpaksa membahagi diri tiap kali biduk menghampiri.

Dalam keterbatasan itu makanya saya mengambil suatu keputusan untuk mengasingkan dan menghimpun penulisan saya kepada beberapa bahagian:

1) tulisan-tulisan berbentuk berita dan isu semasa akan kekal dalam blog
Waadat.

2)
'Cheguman Online' menjadi wadah untuk saya berinteraksi lebih rapat dengan anda semua melalui tulisan-tulisan berbentuk perkongsian pengalaman, perasaan, pandangan hidup termasuk metakognitif serta falsafah.

3) wacana pendidikan dimuatkan dalam blog
4arif2010.

4) petua, ramuan, rawatan alternatif, dan perubatan herba tradisional kekal di blog
Morhabshi.
Ertinya saya akan menulis dalam empat medan blog berbeza mengikut kritia masing-masing. Semua tajuk-tajuk dan intro setiap entri saya sisipkan di sebelah kiri blog ini agar para pengunjung boleh menyemak entri terkini serta membuat pilihan bacaan.

Dalam pada itu saya akan terus menulis dalam blog-blog lain selaku penulis jemputan. Semuanya saya paparkan di sebelah kiri blog ini. Semua hasil tulisan tersebut akan dikumpulkan secara automatik dalam blog 'Cheguman Online'.

Hal ini bermakna blog 'Cheguman Online' akan menjadi blog sehenti atau portal yang berfungsi memaparkan semua aktiviti saya dalam talian, termasuk Face Book dan sebagainya.

Akhir kata saya dengan rendah diri mengharapkan sahabat-sahabat dan sekalian pengunjung untuk bertukar pendapat serta pandangan secara terbuka sambil mengamalkan etika murni rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan kalian semua sepanjang penglibatan saya dalam komuniti maya sejak 1999.

Ampun dan maaf jika terdapat kesalahan atau ketelanjuran bicara saya selama ini.

Salam 1 Malaysia.

Salam hormat,

Salam hormat,

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP