Minyak Morhabshi

Artikal terkini Cheguman dalam pelbagai blog

My plan: merangka angan

Monday, June 10, 2013



*Mula menulis
Hari ini saya mula menulis. Sudah tentulah ia bukan bermaksud sebelum ini saya tidak pernah menulis. Cuma kali ini saya akan menulis lain dari kebiasaan.

# Sementara itu di sudut lain dunia, sang helang masih berselimut di dalam sarang dan berfikir samada perlukah ia keluar sepagi ini?

* Yang biasa
Rata-rata orang menulis tentang perkara lalu. Ada juga yang menulis perkara yang sedang berlaku dan tidak ramai yang mahu menulis apa yang akan dilakukan. Selama ini, saya juga begitu.

# Nampaknya sang helang ingin berbuat sesuatu bagi memenuhi keperluan hidupnya.

* My plan
Pertama, saya akan berhenti daripada profesion tetap yang saya pikul sejak 21 tahun lalu. Ia bukan satu keputusan yang mudah kerana ia mewakili kira-kira 25% daripada pendapatan kasar saya setiap bulan.

Lebih tepat lagi, saya akan kehilangan hampir RM5,000 pada setiap bulan mendatang.

# Bagaimana dengan sang helang tadi? Nampaknya ia sudah bertenggek di atas dahan.

* Soalan lazim
Kenapa perlu berhenti kerja? Perlukah berhenti kerja?

Saya tidak pasti samada kedua-dua soalan tersebut mempunyai maksud yang berlainan atau hanya ayatnya sahaja yang berbeza. Namun saya rasa si penyoal hanya menyembunyikan saranan peribadi beliau iaitu 'alangkah ruginya melepaskan RM5,000 setiap bulan!'

Sudah tentu salah seorang yang menyoal itu adalah hati kecil saya sendiri.

# Masih ragu-ragukah sang helang?

* Pilih satu sahaja
Dalam hidup ini cuma ada dua pilihan iaitu 'lakukan' atau 'abaikan'. Sayangnya kita dibenarkan memilih satu sahaja.

Dalam nada yang lain, 'lakukan' bermaksud jangan lepaskan peluang ini manakala 'abaikan' bermaksud: biarkan ia berlalu.

# Mahu tidak mahu sang helang melonjakkan dirinya ke awan kerana lapar.

* Maksud RM5k
Setiap bulan saya akan menerima gaji sebanyak RM5000 dan sebagai imbalan saya perlu melaksanakan arahan pihak atasan dari pukul 7.30 pagi hingga 2.00 petang lima hari seminggu.

Jika saya menolak arahan tersebut maka saya tidak akan dibayar apa-apa.

* Pendapatan lain
Saya juga mempunyai sumber pendapatan lain kira-kira RM15k sebulan.

Ironinya anggaran perbelanjaan saya setiap bulan ialah RM20 ribu.

* RM5k vs Masa
Jika saya mengambil semula waktu pagi saya yang saya gadaikan pada majikan iaitu selama 8 jam sehari, maka saya akan kehilangan RM5000 sebulan.

Bolehkah saya gunakan 8 jam tersebut (pagi hingga tengahari) dan mendapat semula RM5000 dari sumber lain?

# Nampaknya sang helang telah berlegar di angkasa. Di bawah sana sudah kelihatan beberapa ekor ayam namun seketika kemudian dia turut melihat kelibat manusia dengan senapang di tangan.

* Mencari RM5k yang hilang
Terdapat sebuah lot kedai di bawah ofis saya. Sewanya RM1400 sebulan.
Apa kata jika saya jual donat di situ secara francais?

Ia satu idea yang kelihatan bagus namun belum apa-apa lagi, saya bukan sahaja akan menambah pendapatan sebaliknya akan kehilangan lagi RM1400 kepada pemilik bangunan.

Kini saya perlu meningkatkan target bagi mencari RM6400 sebulan. Beban baru.

# Sang helang mulai risau kemungkinan terserempak pemburu dan berhasrat untuk kembali ke sarang dengan perut kosong.

* Menambah perbelanjaan baru
Selain kos baru RM1400 itu saya juga perlu mendapatkan dua orang pembantu yang perlu diupah sebanyak RM1600 sebulan.

Bebanan baru sudah menjadi RM8000.

# Perlukah sang helang berpatah balik sekarang?

* Tambahan beban
Selain kos tersebut, perbelanjaan lain yang patut dikeluarkan ialah sewa alatan dan bahan mentah.

* Sewa alatan
Berapakah yang saya perlu bayar setiap bulan? Jika RM1000 maka jumlah yang saya perlukan ialah RM9000.

* Kos bahan mentah dan lain-lain
Barangkali saya perlukan modal RM1000 sebulan untuk penyediaan bahan mentah dan sebagainya.

* Berbaloikah?
Berdasarkan kiraan di atas saya bukan sahaja akan kehilangan RM5000 sebulan malah saya telah menambah beban baru sebanyak RM5 ribu lagi menjadikan kesemuanya RM10k sebulan.

Dengan kata lain, jumlah wang yang perlu saya cari jika saya berhenti kerja ialah RM10k sebulan.

Saya juga perlu ingat bahawa saya mempunyai perbelanjaan tetap sebanyak RM15k sebulan.

* Mencari RM10k tambahan
RM10k jika dibahagi 25 hari berniaga ialah RM400. Ertinya purata jualan kedai donat tersebut mesti melebihi RM400 sehari.

Jika sebiji donat dijual RM1 sebiji maka saya perlu menjual 400 biji donat sehari.

* Soalan wajib
Berapakah kos bahan mentah untuk 400 biji donat?

Berapakah pendapatan kasar daripada 400 biji donat?

Bolehkah dijual 400 biji donat sehari?

* Siasat!
Oleh kerana belum bermula, mahu tidak mahu kita perlu bertanya kepada orang yang berpengalaman.

* Bertanya kepada yang berpengalaman
Jika bertanya kepada orang yang akan mendapat faedah daripada keputusan kita nanti sudah tentulah jawapannya akan memberi peluang keuntungan padanya. Akan timbul faktor utamakan kepentingan diri.

Saya boleh bertanya kepada francaisi lain namun masalahnya saya adalah satu-satunya francaisi syarikat tersebut setakat ini!

Maka mahu tidak mahu saya terpaksa bertanya kepada francisor dan berharap beliau akan bersikap jujur dan telus.

Mujurnya, francisor tersebut adalah ibu saudara saya sendiri yang memang saya kenal hati budinya.

Jika tadi saya risaukan kemampuan mendapatkan RM400 sehari atau RM10 ribu sebulan, ibu saudara saya memberitahu bahawa beliau memperolehi antara RM2000-3500 sehari atau sekitar RM60k hingga RM90k sebulan!

Walaupun beberapa faktor lain seperti lokasi tidak sama namun keperluan dan cita rasa manusia tidak banyak berbeza di mana-mana tempat sekalipun.

# Nampaknya sang helang sedang bersedia untuk menjunam ke arah mangsanya. Ia juga sedar jika tersilap langkah ia bukan sahaja akan terlepas rezeki di depan mata bahkan silap haribulan boleh kecundang di muncung senapang.

Read more...

Yang paling diminati

Latar belakang blog Cheguman Online

Baru-baru ini Panglima Perang Cyber, YDP BPN menegur saya:

"Kenapa Cheguman tidak menulis macam dulu?"

Saya termenung seketika dengan teguran tersebut. Apa perbezaannya? Apa yang kurang? Apa yang istimewanya dahulu?

Sejenak saya menoleh dan merenung kembali jejak perjalanan Demang Lebar Daun mengemudi Waadat sejak Mac 2008. Secara jujur saya akui sering tersepit antara kualiti dengan kuantiti. Hambatan terhadap populariti bagi menarik seramai mungkin khalayak pembaca sering mengorbankan kualiti persembahan.

Barangkali ia suatu ironi namun itulah hakikatnya. Persaingan merebut pengunjung mengasak para blogger memanipulasi isu sebanyak mungkin. Kebanyakan blogger perlu membuat 'update' sekerap yang boleh, termasuk menggunakan tajuk-tajuk sensasi.

Demikian juga diri ini. Dalam usaha meletakkan Waadat dalam senarai teratas 'blog list', hasil tulisan berbentuk analisis dan pemikiran metakognitif telah bercampur dengan artikal-artikal berbentuk berita dan komentar terhadap isu semasa.

Ibarat kain cukin yang ditarik ke atas terbuka di bawah ditutup bawah atas terbuka maka saya cuba seupaya mungkin memaksimum kemampuan diri dicelah kekangan yang ada.

Cuma yang saya khuatir ialah jika akar tak jejak di bumi sedangkan pucuk pula gagal menggapai awan. Bagai kiambang yang terapung di air, terpaksa membahagi diri tiap kali biduk menghampiri.

Dalam keterbatasan itu makanya saya mengambil suatu keputusan untuk mengasingkan dan menghimpun penulisan saya kepada beberapa bahagian:

1) tulisan-tulisan berbentuk berita dan isu semasa akan kekal dalam blog
Waadat.

2)
'Cheguman Online' menjadi wadah untuk saya berinteraksi lebih rapat dengan anda semua melalui tulisan-tulisan berbentuk perkongsian pengalaman, perasaan, pandangan hidup termasuk metakognitif serta falsafah.

3) wacana pendidikan dimuatkan dalam blog
4arif2010.

4) petua, ramuan, rawatan alternatif, dan perubatan herba tradisional kekal di blog
Morhabshi.
Ertinya saya akan menulis dalam empat medan blog berbeza mengikut kritia masing-masing. Semua tajuk-tajuk dan intro setiap entri saya sisipkan di sebelah kiri blog ini agar para pengunjung boleh menyemak entri terkini serta membuat pilihan bacaan.

Dalam pada itu saya akan terus menulis dalam blog-blog lain selaku penulis jemputan. Semuanya saya paparkan di sebelah kiri blog ini. Semua hasil tulisan tersebut akan dikumpulkan secara automatik dalam blog 'Cheguman Online'.

Hal ini bermakna blog 'Cheguman Online' akan menjadi blog sehenti atau portal yang berfungsi memaparkan semua aktiviti saya dalam talian, termasuk Face Book dan sebagainya.

Akhir kata saya dengan rendah diri mengharapkan sahabat-sahabat dan sekalian pengunjung untuk bertukar pendapat serta pandangan secara terbuka sambil mengamalkan etika murni rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan kalian semua sepanjang penglibatan saya dalam komuniti maya sejak 1999.

Ampun dan maaf jika terdapat kesalahan atau ketelanjuran bicara saya selama ini.

Salam 1 Malaysia.

Salam hormat,

Salam hormat,

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP