Minyak Morhabshi

Artikal terkini Cheguman dalam pelbagai blog

The return of 'Pertarungan Tuah-Jebat'

Thursday, February 4, 2010


Sebaik selesai solat Isya' yang agak lewat, satu suara kedengaran memberi salam. Demang menjawab salam tersebut, melipat sejadah dan menuju ke jendela tanpa sempat berdoa. Kata guru Demang, utamakan tetamu sebab dengan Tuhan kita boleh 'bertemu bila-bila masa'.

Sebaik daun tingkap dibuka Demang melihat sesusuk tubuh lelaki tercegat di depan tangga teratak Demang. Cahaya bulan membantu Demang mengecam empunya tubuh tersebut.

"Ha, Dalik. Naiklah. Nanti hamba bukakan pintu." ujar Demang.

Sebentar kemudian Dalik sudahpun bersila mengadap Demang.

"Begini, Demang." Dalik mengengsot ke depan menghampiri Demang, hampir berlaga lutut. "Datuk Bendahara berkirim salam dan berharap Demang ke istana sekarang juga." Dalik menyampaikan pesanan.

Demang mengerutkan dahi. Kenapa ke istana? Bukankah Baginda Sultan sedang meminggir ke hulu lantaran amukan Jebat?

Ah, Jebat. Patutlah berdiam diri tatkala baginda menitahkan hukuman bunuh ke atas Tuah. Patutlah tunduk menekur lantai tatkala diserahkan taming sari dengan gelaran Laksamana. Rupanya menunggu kesempatan untuk merajalela. Habis dayang-dayang diperkosa, puluhan rakyat tak berdosa dibunuhnya.

Apa lagi yang dibuat Jebat? Sudah dibunuhnyakah baginda? Entahkan sudah dibakarnya istana? Berapa ramai lagikah rakyat yang diamuknya?

"Maafkan hamba Demang. Dato' Bendahara minta kita bersegera." Dalik memecahkan lamunan Demang.

"Seperkara lagi, Demang. Pesan Bendahara agar perkara ini dirahsiakan sangat-sangat. Hamba beredar dulu agar tidak ketahuan dek orang ramai. Nanti Demang ke sana seorang diri dan masuk melalui pintu rahsia." sambumg Dalik dengan berbisik.

"Baiklah. Hamba faham." balas Demang.

Tidak sukar untuk Demang memasuki istana melalui terowong rahsia. Belumpun tiba di balairong sudah terdengar bunyi orang berpencak. Demang mempercepatkan langkah sambil menghunus keris, sekadar bersedia.

Siapa gerangan yang berani mencabar Jebat? Kasturi? Lekir? Lekiu? Setahu Demang tak ada seorang pun mampu membendung amukan Jebat.

Tiba di balairong Demang terpegun. Apa benarkah penglihatan Demang?

Di tengah-tengah balairong kelihatan dua pendekar sedang bertarung. Jebat sedang menghadapi lawannya. Sekilas pandang sahaja susuk tubuh pencabarnya telah Demang kenal.

"Tuah?" Demang menelan liur. Kalimat itu sekadar tersangkut di kerongkong. Mata Demang terpaku pada pertarungan yang sedang berlangsung.

Sedetik Jebat menyerbu. Tubuhnya melayah ke udara sambil menggenggam kemas ulu keris dan menjunamkan mata runcing itu ke dada Tuah.

Namun Tuah tangkas mengelak ke kanan, menjatuhkan badannya dan dengan satu gerakan sepantas kilat beliau membentes keting Jebat.

Jebat terhumban ke depan namun sebelum dadanya sempat terhenyak pada lantai, tanpa diduga tapak tangannya menepuk lantai dan melentingkan tubuhnya, kemudian berdiri tegak di belakang Tuah.

Tuah terpaksa menjatuhkan tubuhnya sekali lagi serta berguling ke kanan mencari tapak selamat.

Namun Jebat tidak membiarkan Tuah berehat lama. Kali ini dia melompat tinggi untuk menyerang. Melihatkan itu, Tuah ikut melompat. Kedua-duanya beraksi di udara agak lama. Sepak, terajang dan tepis-menepis antara keduanya berlaku tanpa berpijak di lantai.

Dalam satu gerakan yang amat pantas, Tuah menendang lengan Jebat sehingga keris tamingsari yang digenggam Jebat melayang dan jatuh di depan Demang. Tidak cukup dengan itu satu tendangan padu hinggap di dada Jebat sehingga sahabatnya itu tertiarap hampir dengan tempat Demang berdiri.

Spontan, Demang menggulingkan tubuh ke depan, menyambar tamingsari yang tertancap di lantai dan merengkuh Jebat dari belakang. Demang mengunci jebat yang sedang tertiarap. Tanpa perlu membuang masa Demang mengangkat tamingsari dan menjunamkan mata keris itu ke arah dada Jebat.

Sebelum sempat mata keris itu menjamah tubuh Jebat tiba-tiba lengan Demang seolah dihayun oleh sebuah bandul yang amat berat. Keris tamingsari yang Demang sangka telah digenggam kemas terpelanting entah ke mana.

Demang memanggung kepala. Dua tubuh sasa tersenyum memandang Demang yang terpinga-pinga. Dato' Bendahara menghulurkan tangan kepada Demang dan menarik Demang berdiri. Tuah yang berdiri di sebelahnya membantu Jebat bangun sambil keduanya tertawa kecil.

"Sudahlah. Kita berhenti dulu. Demang pun dah tiba." Dato' Bendahara bersuara lembut.

Demang masih kebingungan. Apa ertinya semua ini?

"Sebagaimana yang Demang tahu, Tuah tidak hamba bunuh." Dato' Bendahara memulakan bicara. "Cuma Demang tidak tahu bahawa Jebatpun tidak ditikam oleh Tuah. Mana mungkin Tuah membunuh saudaranya sendiri. Memang Adi Putera telah meramalkan yang mereka berdua akan berlawan sesama sendiri. Justeru kami telah mengambil langkah awal agar perlawanan ini tidak sampai berakhir dengan kematian. Pun begitu, nyaris-nyaris tadi Jebat ditikam Demang. Syukurlah, perkara ini sudah hampir selesai." Bendahara menyambung.

"Astaghfirullahal’azim... Subhanallah…" ucap Demang penuh penyesalan. Ternyata Demang terburu nafsu sehingga hampir-hampir membunuh Jebat. "Jadi, Jebat tidak bersalah?" soal Demang.

"Hamba tidak mengatakan demikian. Sebagaimana Demang tadi, Jebat juga terdorong oleh nafsu. Tuah juga begitu. Malah hamba juga mungkin telah melakukan kesilapan. Masing-masing ada kesilapan. Namun itu bukan alasan untuk kita melakukan kesilapan yang lebih besar." Bendahara merenung wajah-wajah yang sedang mengadapnya itu silih berganti.

"Peristiwa ini menjadi pengalaman amat berguna dalam kita membina negara. Baginda Sultan adalah payung negara sedangkan kitalah bahan binaannya."

"Hamba mempertahankan Sultan bukan bererti hamba tidak mengendahkan nasib rakyat malah kerana memikirkan nasib rakyatlah hamba pertahankan sistem beraja.

Tuah, hamba asuh dan didik sejak kecil untuk setia mempertahankan negara. Tuah tidak kembali kerana perintah Sultan Mahmud sebaliknya kerana hamba yang bersungguh-sungguh meminta. Bukan Sultan Mahmud yang kami bela sebaliknya Kesultanan Melayu (khalifah Islam) itu yang kami pertahankan.

Jebat adalah pelindung pada sahabatnya tidak kira apapun situasi. Namun untuk menentang Sultan, Tuah perlu dilepasi kerana selagi Tuah masih hidup tidak ada sesiapa boleh menyentuh Sultan dan juga Bendahara.

Itulah sebabnya Jebat tidak membantah ketika Sultan menjatuhkan hukuman ke atas Tuah. Baginda tidak akan menerima bantahan Jebat. Jika Jebat berkeras maka Tuah pasti akan membunuh Jebat kerana itu adalah tugasnya." Bendahara menerangkan dengan agak tegas.

Kemudian beliau menyambung sambil tersenyum: "Malah jika hamba sendiri cuba menderhaka maka Tuah tidak akan ragu-ragu menamatkan riwayat hamba."

"Ah, selama ini hamba mencurigai Jebat dan menuduhnya tanpa mampu membela diri. Maafkan hamba, Jebat.” Demang tunduk menekur lantai. Terasa malu kerana pernah bersikap lancang menghina Jebat. Padahal Jebat sekadar melaksanakan tanggungjawabnya.

“Tuan hamba tidak sepenuhnya bersalah, Demang. Sewajarnya tuan hamba berpihak kepada Tuah cuma pandangan terhadap Jebat perlu diubah. Jebat tidak menderhaka atas kepentingan peribadi sebaliknya sekadar untuk menyedarkan sultan yang lalai dengan tanggungjawab baginda. Jika Jebat benar-benar ingin merampas kuasa, sudah lama beliau melakukannya kerana dengan tamingsari di tangan, siapakah yang layak menahannya?” Bendahara menjelaskan.

Seterusnya beliau menambah: "Demang, sampaikan kisah ini pada anak cucu kita. Katakan pada mereka bahawa Jebat sudah menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang sahabat. Tuah sudah menunaikan tanggungjawabnya sbg seorang Laksamana dan pelindung Sultan. Hamba pula telah melakukan yang terbaik bagi menjaga semua kepentingan itu di samping memastikan negara ini selamat untuk didiami oleh rakyat.”

“Moyang kita iaitu Demang Lebar Daun telah mengasaskan sistem kesultanan ini. Sistem hanyalah sebuah kaedah. Tidak ada sistem yang betul atau salah sebaliknya manusialah yang tidak amanah kepada sistem. Jika Iskandar Zulkarnain mendapat penasihat seorang nabi (Khaidir), mustahilkah Sang Sapurba tidak diberikan seorang wali (Demang Lebar Daun)?”

“Bagaimanakah generasi tuan hamba Demang begitu yakin yang raja Melaka hanya memeluk Islam pada 1414 sedangkan ditemui batu bersurat di Terengganu bahawa Islam telah tiba di bumi bertuah ini jauh lebih awal dari itu? Bukankah itu satu bukti yang Islam sudah bertapak jauh lebih awal di Kepulauan Melayu?”

“Tidakkah itu suatu isyarat bahawa Demang Lebar Daun sudah menerima Islam lebih awal?”

“Hamba nasihatkan, dalam keadaan dunia tuan hamba yang begitu bercelaru ini, kembalilah kepada jati diri kalian. Apa salahnya Melayu kekal menjadi Melayu, Cina kekal sebagai Cina dan India kekal sebagai India. Begitu juga dengan kaum-kaum lain. Jadikan perbezaan dan kepelbagaian tersebut sebagai kelebihan dan keistimewaan yang jika disatukan akan menjadi harta yang tak ternilai. Hamba sudah melakukannya di Melaka pada zaman kami dahulu. Lihatlah kepelbagaian penduduk di Melaka ketika itu dan bagaimana hamba garap semuanya bagi membina negara. Tidakkah tuan hamba pelik bagaimana Melaka yang dimulakan pada 1400 berjaya menjadi empayar terbilang tidak sampai 20 tahun. Walaupun kami cuma mampu bertahan selama 110 tahun namun kami berjaya mencapai kegemilangan yang belum mampu dikecapi oleh generasi tuan hamba.”

“Semaklah sejarah dan pelajari sesuatu yang positif. Jangan terlalu mempersoalkan sebab kejatuhan dan keruntuhan Melaka. Fikirkan cara untuk melakukannya dan jangan sesekali mengambil hak orang lain.” Bendahara menamatkan bicara.

Bendahara menghampiri Demang dan menghulurkan tangannya. Terasa satu gerakan lembut pada bahu Demang: “Bang, bangun. Apasal tidur kat sini?”

Demang membuka mata. Rupa-rupanya isteri Demang mengejutkan Demang daripada lena. Hmm, Demang bermimpi rupanya.




Nota:
Artikal ini telah disiar dalam blog Waadat pada 10/17/08 di bawah tajuk: "Maafkan hamba, Jebat"

Artikal asal serta komen mengenainya boleh dibaca di sini.


foto:
hang tuah jebat history
zeffez flickr.com

0 comments:

Post a Comment

Yang paling diminati

Latar belakang blog Cheguman Online

Baru-baru ini Panglima Perang Cyber, YDP BPN menegur saya:

"Kenapa Cheguman tidak menulis macam dulu?"

Saya termenung seketika dengan teguran tersebut. Apa perbezaannya? Apa yang kurang? Apa yang istimewanya dahulu?

Sejenak saya menoleh dan merenung kembali jejak perjalanan Demang Lebar Daun mengemudi Waadat sejak Mac 2008. Secara jujur saya akui sering tersepit antara kualiti dengan kuantiti. Hambatan terhadap populariti bagi menarik seramai mungkin khalayak pembaca sering mengorbankan kualiti persembahan.

Barangkali ia suatu ironi namun itulah hakikatnya. Persaingan merebut pengunjung mengasak para blogger memanipulasi isu sebanyak mungkin. Kebanyakan blogger perlu membuat 'update' sekerap yang boleh, termasuk menggunakan tajuk-tajuk sensasi.

Demikian juga diri ini. Dalam usaha meletakkan Waadat dalam senarai teratas 'blog list', hasil tulisan berbentuk analisis dan pemikiran metakognitif telah bercampur dengan artikal-artikal berbentuk berita dan komentar terhadap isu semasa.

Ibarat kain cukin yang ditarik ke atas terbuka di bawah ditutup bawah atas terbuka maka saya cuba seupaya mungkin memaksimum kemampuan diri dicelah kekangan yang ada.

Cuma yang saya khuatir ialah jika akar tak jejak di bumi sedangkan pucuk pula gagal menggapai awan. Bagai kiambang yang terapung di air, terpaksa membahagi diri tiap kali biduk menghampiri.

Dalam keterbatasan itu makanya saya mengambil suatu keputusan untuk mengasingkan dan menghimpun penulisan saya kepada beberapa bahagian:

1) tulisan-tulisan berbentuk berita dan isu semasa akan kekal dalam blog
Waadat.

2)
'Cheguman Online' menjadi wadah untuk saya berinteraksi lebih rapat dengan anda semua melalui tulisan-tulisan berbentuk perkongsian pengalaman, perasaan, pandangan hidup termasuk metakognitif serta falsafah.

3) wacana pendidikan dimuatkan dalam blog
4arif2010.

4) petua, ramuan, rawatan alternatif, dan perubatan herba tradisional kekal di blog
Morhabshi.
Ertinya saya akan menulis dalam empat medan blog berbeza mengikut kritia masing-masing. Semua tajuk-tajuk dan intro setiap entri saya sisipkan di sebelah kiri blog ini agar para pengunjung boleh menyemak entri terkini serta membuat pilihan bacaan.

Dalam pada itu saya akan terus menulis dalam blog-blog lain selaku penulis jemputan. Semuanya saya paparkan di sebelah kiri blog ini. Semua hasil tulisan tersebut akan dikumpulkan secara automatik dalam blog 'Cheguman Online'.

Hal ini bermakna blog 'Cheguman Online' akan menjadi blog sehenti atau portal yang berfungsi memaparkan semua aktiviti saya dalam talian, termasuk Face Book dan sebagainya.

Akhir kata saya dengan rendah diri mengharapkan sahabat-sahabat dan sekalian pengunjung untuk bertukar pendapat serta pandangan secara terbuka sambil mengamalkan etika murni rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan kalian semua sepanjang penglibatan saya dalam komuniti maya sejak 1999.

Ampun dan maaf jika terdapat kesalahan atau ketelanjuran bicara saya selama ini.

Salam 1 Malaysia.

Salam hormat,

Salam hormat,

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP