Minyak Morhabshi

Artikal terkini Cheguman dalam pelbagai blog

Utusan Maharaja Cina

Thursday, December 16, 2010


Berita kedatangan angkatan perang Raja Suran akhirnya tiba ke pengetahuan Maharaja China. Baginda segera memanggil sidang tergempar bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil bagi menghadapi serangan itu.

"Tuanku, bala tentera Raja Suran bukan calang-calang angkatan perang. Mereka sudah mengalahkan semua negeri yang dilalui sepanjang perjalanan ke sini." ujar seorang menteri.

"Apa nak digusarkan. Angkatan perang kita juga tidak kurang hebatnya. Mana wilayah yang tidak dialahkan kita?" sahut menteri perang.

"Ya. Memang kita kuat. Tentera Raja Suran juga hebat. Justeru jika bertembung, nescaya sebagaimana kata orang; menang jadi arang, kalah jadi abu." seorang menteri bersuara.

Suasana sepi seketika. Kata-kata menteri tua memang ada kebenarannya.

"Jika demikian, kita kirimkan utusan untuk meminta perdamaian dengan Raja Suran." seorang menteri membuat syor.

"Tidak boleh. Itu akan menjatuhkan maruah kita sebagai sebuah empayar besar. Seluruh dunia akan mengejek kita kerana bersikap pengecut." Menteri Perang membantah.

Suara bergumam mula kedengaran. Ibarat mengulum buah simala karma: diluah mati emak ditelan mati bapak. Berperang akan mengundang korban yang bukan sedikit manakala mengalah akan dianggap bacul dan pengecut.

"Kita kirim mesej simbolik." menteri tua berkata tiba-tiba. Sekalian menteri menoleh pada beliau menanti kata-kata selanjutnya.

"Kita pilih beberapa orang lelaki yang sudah lanjut usia sebagai utusan. Naikkan mereka ke sebuah jong tua yang usang. Muatkan jarum-jarum karat, konon sebagai barang dagangan." Menteri tua menarik nafas.

"Nanti mereka tiba di Temasik dan bertemu dengan bala tentera Raja Suran, pasti Raja Suran akan bertanya arah dan jarak perjalanan kerana baginda tidak pernah sampai ke benua sebelah sini."

"Maka, para utusan itu hendaklah memberitahu baginda bahawa mereka telah belayar dari China sejak remaja membawa besi-besi sebesar pemeluk untuk dijual di Temasik. Begitu lama belayar, apabila tiba di Temasik, mereka sudah menjadi tua dan besi-besi yang hendak dijual haus dimakan angin dan air laut sehingga tinggal sebesar jarum." Menteri tua menerangkan.

Para menteri mengangguk-angguk, tanda faham dan setuju.

"Saya rasa cadangan ini langsung tidak masuk akal. Mustahil Raja Suran yang cerdik itu akan terpedaya dengan muslihat ini." bantah menteri muda.

Para menteri sekali lagi mengangguk-angguk. Kali ini kerana bersetuju dengan menteri muda pula.

"Ya. Kerana Raja Suran seorang yang cerdiklah kita lakukan rancangan ini. Utusan yang kita hantar ini membawa mesej simbolik iaitu kita bukanlah lemah sebaliknya sengaja tidak mahu berperang." Menteri veteran menjelaskan.

Seterusnya menteri yang terkenal kerana kebijaksanaannya itu menerangkan mesej yang tersirat di sebalik cadangannya.

Maka bersetujulah sidang tersebut dengan cadangan menteri tua.

Dipendekkan cerita, tidak berapa lama kemudian kapal usang yang membawa utusan Maharaja China itupun tiba di Temasik.

Berita kedatangan kapal daripada Cina segera tersebar dan sampai ke telinga Raja Suran.

Sebagaimana dijangka, para pelayar itupun dibawa mengadap Raja Suran. Sebagaimana rancangan begitulah cerita yang mereka khabarkan.

Raja Suran termenung mendengar perkhabaran. Baginda memandang para penasihat untuk meminta pendapat. Satu mesyuarat khas segera diadakan.

"Hamba langsung tidak percaya cerita para pelayar tua itu." ujar seorang menteri.

"Hamba pun begitu juga." sahut seorang lagi. Namun kenapa Maharaja Cina berbuat cerita bohong?" tambahnya dengan soalan.

"Itulah yang bermain dalam fikiran hamba tatkala mendengar cerita mereka." Bendahara berkata.

Seterusnya beliau menyambung:
"Pada fikiran hamba, Maharaja Cina sengaja menghantar utusan sebagai sindiran kepada kita. Tujuannya ialah supaya kita tidak berperang dengan mereka. Pasukan kita dan tentera Cina sama kuat, sama hebat. Jika bertembung belum tahu siapa yang akan menang. Yang nyata, kalah jadi abu menang jadi arang."

"Justeru, utusan yang dihantar hanyalah simbolik. Para pelayar tua kononnya sudah mula belayar sejak remaja dan apabila tiba di sini mereka menjadi tua."

Itu BUKAN bermakna jarak perjalanan terlalu jauh sebaliknya bermaksud bahawa hidup ini terlalu singkat. Alangkah. Ruginya jika berbuat yang sia-sia.

Semua ahli persidangan mengangguk-angguk.

Esoknya, Raja Suran membuat pengumuman:

"Mulai saat ini, bubar lah kita semua. Hambapun sudah letih berperang. Sudah jauh kita berjalan dan sudah jenuh melihat negeri di atas daratan. " Raja Suran berhenti menghela nafas sambil memandang jauh ke hadapan.

"Hamba bercadang untuk melihat negeri yang lain pula. Hamba ingin turun ke dalam laut dan melawat negeri di bawah sana pula."

Maka bersoraklah bala tentera dan rakyat yang menyertai rombongan besar itu.

Bersambung...

Langkawi, Nov 2010.

Read more...

Yang paling diminati

Latar belakang blog Cheguman Online

Baru-baru ini Panglima Perang Cyber, YDP BPN menegur saya:

"Kenapa Cheguman tidak menulis macam dulu?"

Saya termenung seketika dengan teguran tersebut. Apa perbezaannya? Apa yang kurang? Apa yang istimewanya dahulu?

Sejenak saya menoleh dan merenung kembali jejak perjalanan Demang Lebar Daun mengemudi Waadat sejak Mac 2008. Secara jujur saya akui sering tersepit antara kualiti dengan kuantiti. Hambatan terhadap populariti bagi menarik seramai mungkin khalayak pembaca sering mengorbankan kualiti persembahan.

Barangkali ia suatu ironi namun itulah hakikatnya. Persaingan merebut pengunjung mengasak para blogger memanipulasi isu sebanyak mungkin. Kebanyakan blogger perlu membuat 'update' sekerap yang boleh, termasuk menggunakan tajuk-tajuk sensasi.

Demikian juga diri ini. Dalam usaha meletakkan Waadat dalam senarai teratas 'blog list', hasil tulisan berbentuk analisis dan pemikiran metakognitif telah bercampur dengan artikal-artikal berbentuk berita dan komentar terhadap isu semasa.

Ibarat kain cukin yang ditarik ke atas terbuka di bawah ditutup bawah atas terbuka maka saya cuba seupaya mungkin memaksimum kemampuan diri dicelah kekangan yang ada.

Cuma yang saya khuatir ialah jika akar tak jejak di bumi sedangkan pucuk pula gagal menggapai awan. Bagai kiambang yang terapung di air, terpaksa membahagi diri tiap kali biduk menghampiri.

Dalam keterbatasan itu makanya saya mengambil suatu keputusan untuk mengasingkan dan menghimpun penulisan saya kepada beberapa bahagian:

1) tulisan-tulisan berbentuk berita dan isu semasa akan kekal dalam blog
Waadat.

2)
'Cheguman Online' menjadi wadah untuk saya berinteraksi lebih rapat dengan anda semua melalui tulisan-tulisan berbentuk perkongsian pengalaman, perasaan, pandangan hidup termasuk metakognitif serta falsafah.

3) wacana pendidikan dimuatkan dalam blog
4arif2010.

4) petua, ramuan, rawatan alternatif, dan perubatan herba tradisional kekal di blog
Morhabshi.
Ertinya saya akan menulis dalam empat medan blog berbeza mengikut kritia masing-masing. Semua tajuk-tajuk dan intro setiap entri saya sisipkan di sebelah kiri blog ini agar para pengunjung boleh menyemak entri terkini serta membuat pilihan bacaan.

Dalam pada itu saya akan terus menulis dalam blog-blog lain selaku penulis jemputan. Semuanya saya paparkan di sebelah kiri blog ini. Semua hasil tulisan tersebut akan dikumpulkan secara automatik dalam blog 'Cheguman Online'.

Hal ini bermakna blog 'Cheguman Online' akan menjadi blog sehenti atau portal yang berfungsi memaparkan semua aktiviti saya dalam talian, termasuk Face Book dan sebagainya.

Akhir kata saya dengan rendah diri mengharapkan sahabat-sahabat dan sekalian pengunjung untuk bertukar pendapat serta pandangan secara terbuka sambil mengamalkan etika murni rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan kalian semua sepanjang penglibatan saya dalam komuniti maya sejak 1999.

Ampun dan maaf jika terdapat kesalahan atau ketelanjuran bicara saya selama ini.

Salam 1 Malaysia.

Salam hormat,

Salam hormat,

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP