Morhabshi

Artikal terkini Cheguman dalam pelbagai blog

Waadat Demang Lebar Daun - Sang Sapurba

Tuesday, February 9, 2010


"Yang kubunuh bukan seorang sahabat sebaliknya orang yang cuba meruntuhkan sebuah sistem pentadbiran negara." Tun Tuah.

Situasi 1
Tarikh: tidak diketahui
Tempat: Bukit Saguntang
Peristiwa: Pertabalan Sang Sapurba sebagai raja Melayu pertama.

Catatan sejarah:
Demang Lebar Daun mempunyai kuasa mutlak untuk mempertabalkan dirinya sendiri sebagai raja yang sah. Malah beliau sememangnya penguasa sebenar di Bukit Saguntang. Namun beliau memilih untuk menabalkan Sang Sapurba sebagai raja.

Situasi 2
Tarikh: awal abad ke 15
Tempat: Melaka
Peristiwa: Bendahara Sri Wak Raja ditemui mati akibat 'keracunan'.

Catatan Sejarah:
Tun Perak tetap setia kepada kerajaan Melaka meski ayahandanya disingkir oleh sultan, ditemui mati dan beliau sendiri terpaksa membawa diri ke Ulu Kelang. Mengikut adat Melayu Tun Perak berhak dilantik menggantikan ayahandanya.

Situasi 3
Tarikh: sekitar 149x
Tempat: Istana Melaka
Peristiwa: Jebat merampas istana/menderhaka.

Catatan sejarah:
Tun Tuah mempunyai peluang yang besar untuk berpakat dengan Hang Jebat bagi mengambil alih pentadbiran Melaka ekoran 'kejayaan' Hang Jebat menggulingkan sultan ketika itu.

Situasi 4
Tarikh: beberapa tahun sebelum 1511
Tempat: Kota Melaka
Peristiwa: Bendahara Seri Maharaja sekeluarga dihukum bunuh atas dakwaan merancang rampasan kuasa.

Catatan sejarah:
Bendahara Seri Maharaja berpeluang untuk membantah hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas beliau sekeluarga. Beliau ketika itu dalam posisi sangat kukuh dari segi politik dan ekonomi sebaliknya beliau melarang para pengikutnya daripada memberontak.

Situasi 5
Tarikh: 1946
Tempat: Tanah Melayu
Peristiwa: Malayan Union

Catatan sejarah:
Raja-raja Melayu telah menyerahkan Tanah Melayu kepada Inggeris. Dato' Onn Jaafar berjaya merampasnya semula dan menyerahkan kembali kuasa kepada institusi beraja dengan beberapa penambahbaikan.


Feudal vs komunis-sosialis

Situasi-situasi di atas secara mudah ditafsirkan oleh penganut sosialisme dan komunisme sebagai keputusan bodoh hamba-hamba feudal.

Dalam peristiwa-peristiwa di atas, pengambilalihan kuasa bukan sahaja tidak berlaku malah sejarah mencatatkan betapa institusi beraja kekal hingga ke hari ini dengan beberapa penambahbaikan.

Mengapa tokoh-tokoh Melayu terbilang tersebut tidak membantah keputusan raja yang mereka yakini sebagai tidak adil?

Mari kita fikirkan bersama.

Demang Lebar Daun sebenarnya sedang membina negara.

Jika beliau menjadi raja, siapakah yang beliau yakin boleh memimpin rakyat untuk setia kepada raja? Adakah raja itu sendiri? Mampukah seorang manusia raja membina negara seorang diri?

Maka Demang Lebar Daun yang bijaksana memilih untuk berperanan sebagai penyokong dan pembantu setia kepada ketua. Beliau mengenepikan kepentingan peribadi padahal ketika itu tiada siapa akan membantah jika beliau sendiri yang menjadi raja. Berbanggalah kita selaku cucu cicit beliau yang tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya meletakkan kepentingan negara sebagai perjuangan utama.

Meletakkan seseorang di singgahsana sebagai satu simbol dan rujukan merupakan satu percaturan politik yang bijak dan berhikmah.

Pada prinsipnya sebuah kumpulan yang hebat mestilah mempunyai ketua yang hebat. Individu yang hebat sebenarnya ramai, terpulanglah kepada kita untuk memilih, mengiktiraf dan mempertahankannya. Membuka peluang kepada semua orang untuk jawatan tertinggi dalam negara hanya akan menggalakkan perpecahan yang lebih besar. Konsep raja sangat berbeza dengan pemimpin diktator. Seorang diktator boleh muncul dari kalangan rakyat biasa yang kemudian memaksa rakyat menerima perintahnya. Sebaliknya seorang raja diterima dengan redha oleh rakyat sebagai satu ketentuan Ilahi yang tidak boleh dipertikaikan. Penderhakaan kepada raja adalah penderhakaan terhadap rakyat itu sendiri.


Menentang konsep redha samalah seperti menentang Qadha dan Qadar Allah. Penulis bukan membincangkan soal dosa dan pahala atau halal dan haram. Sebaliknya hanya melihat pada fikrah manusia yang hidupnya sudah ditentukan takdir, samada mahu atau tidak mahu; redha atau tidak redha. Malah orang yang tidak percayakan takdir juga di suatu masa terpaksa bersemuka dengan takdir yang ditentukan ke atasnya. MAUT.



Selepas PRU-12

Politik negara kini sedang bercelaru. Rakyat sedang keliru dan tertanya-tanya tentang apa yang berlaku. Individu-individu yang menganggap diri mereka sebagai pemimpin rakyat bergerak ke sana ke sini cuba menawarkan penyelesaian. Padahal mereka sebenarnya tidak ubah seperti tikus membaiki labu.

Sebenarnya mereka cuma berminat memperbaiki kedudukan masing-masing.

Setakat ini belum nampak lagi bayangan Demang Lebar Daun atau Tun Tuah atau Tun Perak atau Tun Mutahir maupun 'Tun' Onn Jaafar dalam kalangan individu yang mendakwa ingin 'membetulkan' keadaan itu. Setakat ini yang ada hanyalah Jebat yang tiba-tiba dinobatkan sebagai wira baru orang Melayu. Padahal si Jebat sebelum itu tidak pernah membantah hukuman bunuh yang dijatuhi ke atas Tun Tuah. Jebat hanya mendapat 'ilham' untuk menuntut bela atas kematian Tun Tuah hanyalah selepas terkejut menerima kunjungan sahabatnya itu yang disangka telah mati.

Bukankah itu sekadar alasan orang yang terdesak?

Selepas PRU ke 12 selesai, berlaku beberapa peristiwa yang mempunyai mesej yang sama iaitu "raja masih berkuasa". Isu perlantikan Menteri Besar (bendahara) di Perlis, Perak, Selangor dan Terengganu menyedarkan rakyat bahawa mereka masih mempunyai raja. Di tengah-tengah keghairahan sesetengah pemimpin berebut kuasa mereka lupa bahawa negeri-negeri Melayu ini adalah milik raja.

Dunia bukan sahaja belum kiamat (meminjam kata-kata Pak Habib), malah negara kita baru bermula. Masih belum terlambat untuk kita memperbetulkan keadaan. Pemerintahan negara perlu diletakkan pada landasannya semula. Asas yang dirintis oleh moyang kita iaitu Demang Lebar Daun perlu dirujuk dan dihayati.

Daulatkan semula raja-raja Melayu! Bukan sekadar satu simbol malah sebagai ikon yang 'hidup'. Negara Britain bukan sahaja hebat dan gagah di bawah naungan raja mereka malah mereka lebih dihormati di mata dunia. Lihat pula US yang dianggap hebat dan gagah. Adakah mereka lebih dihormati dan kelihatan lebih bertamadun? Dari segi material mungkin benar. Tetapi dewasa ini US lebih dilihat sebagai negara paksi kejahatan dan ikon kurang ajar. Lihat juga Soviet Union yang telah runtuh; negara China, India dan jiran kita Indonesia yang membuang raja-raja mereka. Lebih hebatkah mereka berbanding Jepun dan Belanda yang masih mengekalkan raja meski sekadar simbol?

Malah jika tidak kerana serangan ekonomi sekitar 1998, Thailand juga mampu menjadi contoh negara maju di bawah naungan raja.

Bagaimana pula dengan Brunei? Lemahkah mereka? Kucar kacirkah Arab Saudi dan Kuwait? Amankah Iran dan Iraq yang pernah berada di kemuncak kegemilangan semasa raja masih berkuasa? Kemudian, kita ambil iktibar jiran kita Kemboja yang membuang raja mereka setelah terpedaya dengan janji manis komunis. Apa yang terjadi kepada Turkey setelah runtuhnya dinasti Islam yang berkerajaan di situ? Baca sejarah Mustafa Kamel Atta Turk Al Yahudi.

Selama ribuan tahun hampir semua negara bangsa diterajui raja masing-masing. Rupa-rupanya keadaan begini bukan disenangi oleh semua pihak. Ternyata kesetiaan rakyat terhadap raja menyukarkan zionist merealisasikan protokol mereka. Lantas para pemuka Yahudi diam-diam menaja ideologi baru yang begitu indah. Konflik antara raja dengan rakyat!

Bumi mana mana tak ditimpa hujan, laut mana yang tak bergelora. Itulah adat dunia. Lautan, meski sering mengambil korban namun tidak pernah lupa menyalurkan rezeki. Begitu juga institusi raja. Meski ada kelemahannya namun system itu jauh lebih baik daripada komunis dan sosialis. Buktinya? Lihatlah sejarah dunia dan bandingkan pencapaian kerajaan beraja dengan kerajaan tanpa raja. Bandingkan kejayaan sesebuah Negara semasa mempunyai raja dengan keadaan Negara tersebut selepas tiada raja.

Wallahu'alam.






Foto Cordoba, Andalusia:
0469 cordoba 0001269 jpg
en.structurae.de


Artikal ini telah disiarkan dalam blog Waadat pada 29 April 2008 de bawah tajuk "Siapa wira: Tuah atau Jebat?"

0 comments:

Post a Comment

Yang paling diminati

Latar belakang blog Cheguman Online

Baru-baru ini Panglima Perang Cyber, YDP BPN menegur saya:

"Kenapa Cheguman tidak menulis macam dulu?"

Saya termenung seketika dengan teguran tersebut. Apa perbezaannya? Apa yang kurang? Apa yang istimewanya dahulu?

Sejenak saya menoleh dan merenung kembali jejak perjalanan Demang Lebar Daun mengemudi Waadat sejak Mac 2008. Secara jujur saya akui sering tersepit antara kualiti dengan kuantiti. Hambatan terhadap populariti bagi menarik seramai mungkin khalayak pembaca sering mengorbankan kualiti persembahan.

Barangkali ia suatu ironi namun itulah hakikatnya. Persaingan merebut pengunjung mengasak para blogger memanipulasi isu sebanyak mungkin. Kebanyakan blogger perlu membuat 'update' sekerap yang boleh, termasuk menggunakan tajuk-tajuk sensasi.

Demikian juga diri ini. Dalam usaha meletakkan Waadat dalam senarai teratas 'blog list', hasil tulisan berbentuk analisis dan pemikiran metakognitif telah bercampur dengan artikal-artikal berbentuk berita dan komentar terhadap isu semasa.

Ibarat kain cukin yang ditarik ke atas terbuka di bawah ditutup bawah atas terbuka maka saya cuba seupaya mungkin memaksimum kemampuan diri dicelah kekangan yang ada.

Cuma yang saya khuatir ialah jika akar tak jejak di bumi sedangkan pucuk pula gagal menggapai awan. Bagai kiambang yang terapung di air, terpaksa membahagi diri tiap kali biduk menghampiri.

Dalam keterbatasan itu makanya saya mengambil suatu keputusan untuk mengasingkan dan menghimpun penulisan saya kepada beberapa bahagian:

1) tulisan-tulisan berbentuk berita dan isu semasa akan kekal dalam blog
Waadat.

2)
'Cheguman Online' menjadi wadah untuk saya berinteraksi lebih rapat dengan anda semua melalui tulisan-tulisan berbentuk perkongsian pengalaman, perasaan, pandangan hidup termasuk metakognitif serta falsafah.

3) wacana pendidikan dimuatkan dalam blog
4arif2010.

4) petua, ramuan, rawatan alternatif, dan perubatan herba tradisional kekal di blog
Morhabshi.
Ertinya saya akan menulis dalam empat medan blog berbeza mengikut kritia masing-masing. Semua tajuk-tajuk dan intro setiap entri saya sisipkan di sebelah kiri blog ini agar para pengunjung boleh menyemak entri terkini serta membuat pilihan bacaan.

Dalam pada itu saya akan terus menulis dalam blog-blog lain selaku penulis jemputan. Semuanya saya paparkan di sebelah kiri blog ini. Semua hasil tulisan tersebut akan dikumpulkan secara automatik dalam blog 'Cheguman Online'.

Hal ini bermakna blog 'Cheguman Online' akan menjadi blog sehenti atau portal yang berfungsi memaparkan semua aktiviti saya dalam talian, termasuk Face Book dan sebagainya.

Akhir kata saya dengan rendah diri mengharapkan sahabat-sahabat dan sekalian pengunjung untuk bertukar pendapat serta pandangan secara terbuka sambil mengamalkan etika murni rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan kalian semua sepanjang penglibatan saya dalam komuniti maya sejak 1999.

Ampun dan maaf jika terdapat kesalahan atau ketelanjuran bicara saya selama ini.

Salam 1 Malaysia.

Salam hormat,

Salam hormat,

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP