Minyak Morhabshi

Artikal terkini Cheguman dalam pelbagai blog

bersederhanalah

Tuesday, July 20, 2010


Air adalah sumber kehidupan. Manakala sebuah kolam adalah sebuah dunia kecil. Barangkali juga cerminan bagi kita.

Segalanya berlaku dengan bersebab meskipun Allah Taala tidak tertakluk pada hukum itu. Bahkan Allah-lah yang mengawal dengan qada dan qadar-Nya.

Beberapa jam yang lalu...
Walaupun urusan belum selesai, saya singgah sebentar di rumah dan buru-buru menunaikan solat asar. Selepas itu sempat pula menjengah kolam yang kelihatan tenang dan damai.

Sejak beberapa minggu yang lalu semakin ketara surutnya air kolam. Pastilah kebocoran pada dasarnya telah semakin merebak.

Maka saya memulas kekunci sumber air dan air jernih berklorin meluncur deras ke dalam kolam. Ikan-ikan keriangan kerana air adalah punca kehidupan.

Ya. Air adalah sumber kehidupan. Namun air asli semata-mata belum memadai untuk manusia. Maka manusia memasukkan klorin ke dalam air bagi meningkatkan kualiti air.

Air itulah yang kami salurkan terus ke dalam kolam setiap hari. Malah kadang-kadang sehingga tiga kali sehari sejak kolam itu mengalami kebocoran.

Namun malam tadi kegemparan berlaku. Ikan-ikan kecil besar yang menghuni di dalamnya terkejang tidak bernyawa. Beberapa ekor spesis yang agak lasak seperti betuk dan kalui pun tercungap-cungai menanti ajal.

Nampaknya kebimbangan kami terhadap musuh seperti burung dan ular belum menjadi kenyataan. Sebaliknya ikan-ikan itu terlebih dahulu tewas dek faktor dalaman.

Kesilapan besar saya ialah kerana terlupa menutup air paip sehingga ia melimpah selama beberapa jam. Akibatnya, air berklorin sudah mengatasi air yang sedia ada di dalam kolam.

Seluruh keluarga ikut bersedih dengan tragedi yang berlaku.

Puas saya berfikir; apakah tamsilan daripada peristiwa ini? Apakah yang boleh dipersamakan dengan klorin? Ia bukan perbuatan musuh luar. Bukan juga musuh dalam selimut.

Ia adalah kesilapan sendiri.

Akhirnya saya memahami bahawa kejadian ini adalah amaran daripada Allah Taala agar bertindak sederhana. Klorin yang digunakan untuk meningkatkan kualiti air bertukar menjadi racun apabila digunakan secara berlebihan.

0 comments:

Post a Comment

Yang paling diminati

Latar belakang blog Cheguman Online

Baru-baru ini Panglima Perang Cyber, YDP BPN menegur saya:

"Kenapa Cheguman tidak menulis macam dulu?"

Saya termenung seketika dengan teguran tersebut. Apa perbezaannya? Apa yang kurang? Apa yang istimewanya dahulu?

Sejenak saya menoleh dan merenung kembali jejak perjalanan Demang Lebar Daun mengemudi Waadat sejak Mac 2008. Secara jujur saya akui sering tersepit antara kualiti dengan kuantiti. Hambatan terhadap populariti bagi menarik seramai mungkin khalayak pembaca sering mengorbankan kualiti persembahan.

Barangkali ia suatu ironi namun itulah hakikatnya. Persaingan merebut pengunjung mengasak para blogger memanipulasi isu sebanyak mungkin. Kebanyakan blogger perlu membuat 'update' sekerap yang boleh, termasuk menggunakan tajuk-tajuk sensasi.

Demikian juga diri ini. Dalam usaha meletakkan Waadat dalam senarai teratas 'blog list', hasil tulisan berbentuk analisis dan pemikiran metakognitif telah bercampur dengan artikal-artikal berbentuk berita dan komentar terhadap isu semasa.

Ibarat kain cukin yang ditarik ke atas terbuka di bawah ditutup bawah atas terbuka maka saya cuba seupaya mungkin memaksimum kemampuan diri dicelah kekangan yang ada.

Cuma yang saya khuatir ialah jika akar tak jejak di bumi sedangkan pucuk pula gagal menggapai awan. Bagai kiambang yang terapung di air, terpaksa membahagi diri tiap kali biduk menghampiri.

Dalam keterbatasan itu makanya saya mengambil suatu keputusan untuk mengasingkan dan menghimpun penulisan saya kepada beberapa bahagian:

1) tulisan-tulisan berbentuk berita dan isu semasa akan kekal dalam blog
Waadat.

2)
'Cheguman Online' menjadi wadah untuk saya berinteraksi lebih rapat dengan anda semua melalui tulisan-tulisan berbentuk perkongsian pengalaman, perasaan, pandangan hidup termasuk metakognitif serta falsafah.

3) wacana pendidikan dimuatkan dalam blog
4arif2010.

4) petua, ramuan, rawatan alternatif, dan perubatan herba tradisional kekal di blog
Morhabshi.
Ertinya saya akan menulis dalam empat medan blog berbeza mengikut kritia masing-masing. Semua tajuk-tajuk dan intro setiap entri saya sisipkan di sebelah kiri blog ini agar para pengunjung boleh menyemak entri terkini serta membuat pilihan bacaan.

Dalam pada itu saya akan terus menulis dalam blog-blog lain selaku penulis jemputan. Semuanya saya paparkan di sebelah kiri blog ini. Semua hasil tulisan tersebut akan dikumpulkan secara automatik dalam blog 'Cheguman Online'.

Hal ini bermakna blog 'Cheguman Online' akan menjadi blog sehenti atau portal yang berfungsi memaparkan semua aktiviti saya dalam talian, termasuk Face Book dan sebagainya.

Akhir kata saya dengan rendah diri mengharapkan sahabat-sahabat dan sekalian pengunjung untuk bertukar pendapat serta pandangan secara terbuka sambil mengamalkan etika murni rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan kalian semua sepanjang penglibatan saya dalam komuniti maya sejak 1999.

Ampun dan maaf jika terdapat kesalahan atau ketelanjuran bicara saya selama ini.

Salam 1 Malaysia.

Salam hormat,

Salam hormat,

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP