Minyak Morhabshi

Artikal terkini Cheguman dalam pelbagai blog

Utusan Maharaja Cina

Thursday, December 16, 2010


Berita kedatangan angkatan perang Raja Suran akhirnya tiba ke pengetahuan Maharaja China. Baginda segera memanggil sidang tergempar bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil bagi menghadapi serangan itu.

"Tuanku, bala tentera Raja Suran bukan calang-calang angkatan perang. Mereka sudah mengalahkan semua negeri yang dilalui sepanjang perjalanan ke sini." ujar seorang menteri.

"Apa nak digusarkan. Angkatan perang kita juga tidak kurang hebatnya. Mana wilayah yang tidak dialahkan kita?" sahut menteri perang.

"Ya. Memang kita kuat. Tentera Raja Suran juga hebat. Justeru jika bertembung, nescaya sebagaimana kata orang; menang jadi arang, kalah jadi abu." seorang menteri bersuara.

Suasana sepi seketika. Kata-kata menteri tua memang ada kebenarannya.

"Jika demikian, kita kirimkan utusan untuk meminta perdamaian dengan Raja Suran." seorang menteri membuat syor.

"Tidak boleh. Itu akan menjatuhkan maruah kita sebagai sebuah empayar besar. Seluruh dunia akan mengejek kita kerana bersikap pengecut." Menteri Perang membantah.

minyak morha (morhabshi) untuk lenguh², lemah sendi, badan tak selesa sampai susah tidur

Suara bergumam mula kedengaran. Ibarat mengulum buah simala karma: diluah mati emak ditelan mati bapak. Berperang akan mengundang korban yang bukan sedikit manakala mengalah akan dianggap bacul dan pengecut.

"Kita kirim mesej simbolik." menteri tua berkata tiba-tiba. Sekalian menteri menoleh pada beliau menanti kata-kata selanjutnya.

"Kita pilih beberapa orang lelaki yang sudah lanjut usia sebagai utusan. Naikkan mereka ke sebuah jong tua yang usang. Muatkan jarum-jarum karat, konon sebagai barang dagangan." Menteri tua menarik nafas.

"Nanti mereka tiba di Temasik dan bertemu dengan bala tentera Raja Suran, pasti Raja Suran akan bertanya arah dan jarak perjalanan kerana baginda tidak pernah sampai ke benua sebelah sini."

"Maka, para utusan itu hendaklah memberitahu baginda bahawa mereka telah belayar dari China sejak remaja membawa besi-besi sebesar pemeluk untuk dijual di Temasik. Begitu lama belayar, apabila tiba di Temasik, mereka sudah menjadi tua dan besi-besi yang hendak dijual haus dimakan angin dan air laut sehingga tinggal sebesar jarum." Menteri tua menerangkan.

Para menteri mengangguk-angguk, tanda faham dan setuju.

"Saya rasa cadangan ini langsung tidak masuk akal. Mustahil Raja Suran yang cerdik itu akan terpedaya dengan muslihat ini." bantah menteri muda.

Para menteri sekali lagi mengangguk-angguk. Kali ini kerana bersetuju dengan menteri muda pula.

"Ya. Kerana Raja Suran seorang yang cerdiklah kita lakukan rancangan ini. Utusan yang kita hantar ini membawa mesej simbolik iaitu kita bukanlah lemah sebaliknya sengaja tidak mahu berperang." Menteri veteran menjelaskan.

Seterusnya menteri yang terkenal kerana kebijaksanaannya itu menerangkan mesej yang tersirat di sebalik cadangannya.

Maka bersetujulah sidang tersebut dengan cadangan menteri tua.

Dipendekkan cerita, tidak berapa lama kemudian kapal usang yang membawa utusan Maharaja China itupun tiba di Temasik.

minyak morha (morhabshi) untuk lenguh², lemah sendi, badan tak selesa sampai susah tidur

Berita kedatangan kapal daripada Cina segera tersebar dan sampai ke telinga Raja Suran.

Sebagaimana dijangka, para pelayar itupun dibawa mengadap Raja Suran. Sebagaimana rancangan begitulah cerita yang mereka khabarkan.

Raja Suran termenung mendengar perkhabaran. Baginda memandang para penasihat untuk meminta pendapat. Satu mesyuarat khas segera diadakan.

"Hamba langsung tidak percaya cerita para pelayar tua itu." ujar seorang menteri.

"Hamba pun begitu juga." sahut seorang lagi. Namun kenapa Maharaja Cina berbuat cerita bohong?" tambahnya dengan soalan.

"Itulah yang bermain dalam fikiran hamba tatkala mendengar cerita mereka." Bendahara berkata.

Seterusnya beliau menyambung:
"Pada fikiran hamba, Maharaja Cina sengaja menghantar utusan sebagai sindiran kepada kita. Tujuannya ialah supaya kita tidak berperang dengan mereka. Pasukan kita dan tentera Cina sama kuat, sama hebat. Jika bertembung belum tahu siapa yang akan menang. Yang nyata, kalah jadi abu menang jadi arang."

"Justeru, utusan yang dihantar hanyalah simbolik. Para pelayar tua kononnya sudah mula belayar sejak remaja dan apabila tiba di sini mereka menjadi tua."

Itu BUKAN bermakna jarak perjalanan terlalu jauh sebaliknya bermaksud bahawa hidup ini terlalu singkat. Alangkah. Ruginya jika berbuat yang sia-sia.

Semua ahli persidangan mengangguk-angguk.

Esoknya, Raja Suran membuat pengumuman:

"Mulai saat ini, bubar lah kita semua. Hambapun sudah letih berperang. Sudah jauh kita berjalan dan sudah jenuh melihat negeri di atas daratan. " Raja Suran berhenti menghela nafas sambil memandang jauh ke hadapan.

"Hamba bercadang untuk melihat negeri yang lain pula. Hamba ingin turun ke dalam laut dan melawat negeri di bawah sana pula."

Maka bersoraklah bala tentera dan rakyat yang menyertai rombongan besar itu.

Bersambung...

Langkawi, Nov 2010.

Cheguman a.k.a Demang Lebar Daun adalah blogger Waadat sejak 2008.
Menulis tentang politik semasa dengan melihat yang tersirat di sebalik tersurat. Menulis adalah bakti kecil untuk agama, bangsa, dan negara. Khidmat selaku hamba Allah.

Aktivis BiroTata Negara sejak 1993 dan bamyak terlibat dalam memberi kefahaman tentang perlembagaan kepada pegawai kerajaan.

Blog Waadat tidak dibiayai oleh mana² individu berkepentingan atau parti politik.

  
----------------------------------------------------------

M I N Y A K    M O R H A B S H I

----------------------------------------------------------
      ----------------------------------------------------------

Read more...

memang spesisnya begitu

Tuesday, September 21, 2010




Dr Ramdhan membina sebuah kolam di belakang rumahnya. Pelbagai spesis ikan dimasukkan ke dalam kolam itu.

Setiap hari, apabila berkelapangan beliau akan bersantai di situ memerhatikan dunia akuistik yang dibinanya. Tenang dan senang hati beliau melihat ikan-ikan berenang-renang di dalam air yang jernih.

Dr Ramdhan berusaha menjadikan kolam itu sebagaimana habitat semulajadi untuk haiwan peliharaannya. Beliau mahu ikan-ikan itu hidup dengan gembira dan bahagia.

Pada suatu hari Dr Ramdhan membeli seekor ikan kelisa yang cantik. Beliau memasukkan ikan itu ke dalam kolamnya. Beberapa hari kemudian beliau mula menyedari ikan-ikan kecil semakin berkurangan. Setelah dihendap, tahulah beliau bahawa ikan kelisa yang baru dibeli telah membaham seekor demi seekor ikan-ikan itu.

Keharmonian kolam telah tergugat. Ia sudah tidak selamat lagi untuk didiami.

Dr Ramdhan berasa kecewa. Beliau berfikir cara terbaik untuk ikan-ikannya. Beliau sayangkan semua ikan-ikan itu termasuk Kelisa yang membuat onar. Tambahan pula ikan Kelisa tersebut dibelinya dengan harga yang amat mahal.

Seluruh isi kolam itu belum menyamai harga seekor ikan Kelisa!

Dr Ramdhan mengambil keputusan untuk memberi pengajaran pada si kelisa. Dia membeli sebiji balang kaca dan memasukkannya ke tengah-tengah kolam. Ikan kelisa dikurung di dalam bekas kaca tersebut dan diberi makan.

Dengan kata lain si kelisa telah dipenjarakan.

Walaupun dia masih berada di dalam kolam namun dia tidak boleh bergerak bebas. Dia hanya mampu melihat ikan-ikan lain berenang dan bermain, menjelajah ke seluruh ceruk kolam.

Dr Ramdhan berharap ikan Kelisa itu akan insaf dan mengubah sikapnya.

Setelah seminggu, Dr Ramdhan melepaskan ikan kelisa dari penjaranya. Dia percaya hukuman itu sudah cukup memberi kesedaran dan pengajaran.

Namun beberapa hari kemudian Dr Ramdhan mendapati kejadian lalu berulang kembali. Ikan-ikan kecil kembali menyusut. Sudah beberapa kali Dr Ramdhan menyaksikan sendiri si kelisa membedal ikan lain dengan lahapnya.

Si kelisa diberkas dan dijatuhkan hukuman penjara sekali lagi. Kali ini hukuman dilanjutkan selama sebulan. Dr Ramdhan berharap si kelisa akan merasa serik.

Sayangnya selepas dibebaskan sikap Kelisa langsung tidak berubah. Bahkan selepas hukuman ditambah sehingga tiga bulan pun tidak mampu mengubah tabiatnya yang ketagihan memakan ikan lain.

Akhirnya Dr Ramdhan mengambil keputusan baru. Dia mengeluarkan balang kaca dari dalam kolam dan menyerahkan ikan itu kepada isterinya.

Tengahari itu juga Dr Ramdhan sekeluarga makan nasi berlaukkan asam pedas tempoyak ikan kelisa!

Read more...

epik Siru dan Sari

Monday, August 30, 2010



Siru dan Sari sudah lama bejiran. Maksud saya, ibu bapa mereka. Malah jika diselusuri salasilah kluarga, mereka sebenarnya masih dikira bersaudara.

Pada suatu hari berkata Siru kepada Sari: "Tidak lama lagi aku akan memiliki rumah sendiri. Ya, sebuah rumah yang comel di suatu tempat yang indah."

Sari memandang kehairanan. "Bukankah engkau sudah mempunyai rumah sekarang?"

Siru tersenyum merenung arah perbukitan yang jauh berbalam dan berkata: "Ya, tetapi ia kepunyaan ibu bapaku. Nanti aku akan dewasa dan perlukan kehidupan sendiri."

Kegelisahan Sari malam itu mengundang simpati sang ibu. "Ia adalah proses yang normal, sayang. Sampai masanya setiap remaja akan meninggalkan keluarga bagi menempuh kehidupan yang lebih bermakna. Mereka akan berkahwin, berzuriat, dan membina generasi baru."

Pada suatu pagi Siru mendatangi Sari dengan riang. "Aku telah menemui sebuah kawasan yang selama ini hanya muncul dalam mimpiku. Aku pasti, di situlah nanti akan kubina sebuah teratak yang indah untuk kudiami bersama isteri dan anak-anak."

Sari mendiamkan diri namun dia sedar betapa resahnya hati di dalam. Dalam diam sempat dia menyimpan tekad dan hasrat.

Petang itu Sari menyusuri denai arah ke gunung sehingga tiba di pinggir sebatang kali. Deru air jeram, selirat belukar, bongkah-bongkah batu, suara unggas rimba, serta laungan mergastua membawanya ke sebuah dataran permai.

Terpegun Sari menyaksikan hamparan hijau di hadapannya. Terasa sayang untuk mencemar permaidani semulajadi itu dengan kakinya yang runcing.

"Ah! Inilah syurga impianku. Tiba-tiba dia teringatkan Siru. "Aku juga bakal mempunyai rumah sendiri".

Sari kembali ke rumah dengan ceria selepas membersihkan kawasan itu untuk dijadikan tapak rumah.

Keesokan harinya Siru sejak awal lagi sudah memudiki anak sungai. Perancangan asal ialah untuk membersihkan kawasan itu bagi menyediakan tapak rumah impiannya.

Namun Siru merasa hairan kerana tempat itu sudah dibersihkan. "Agaknya orang bunian telah mengetahui hasratku dan mereka pun membantu.

Siru segera mencari batang-batang kayu untuk dibuat tiang. Menjelang tengahari kerja memacak tiang selesai dan Siru segera kembali ke rumahnya.

Petang itu Sari tiba di tapak rumahnya dengan bersemangat. Dia terkejut melihat tiang-tiang sudah terpacak. "Nampaknya orang bunian telah menyedari hasratku dan mereka telah membantu.

Sari segera mengumpulkan ranting-ranting untuk dijadikan lantai. Sebelum senja tiba, kerja-kerja itupun selesai.

Pagi esoknya Siru kembali menyambung tugasan. Dia amat gembira kerana orang bunian sentiasa membantu. Dia berpuas hati dengan keadaan lantai yang kemas dan selesa.

Siru masuk ke hutan mencari buluh dan rumbia. Menjelang tengahari dia melonggokkan bahan-bahan tersebut bagi melengkapkan rumahnya.

Seperti biasa, Sari tiba pada waktu pagi. Dia terpegun melihat peralatan yang bertimbun. "nampaknya bahan untuk membuat dinding dan bumbung sudah ada. Terima kasih orang bunian." Ujar Sari dengan riang.

Ketika matahari tegak di puncak rimba kerja-kerja anyaman dan sisipan atap pun selesai. Sari pulang ke rumah dengan gembira.

Petangnya seperti biasa Siru tiba sambil meneka-neka apakah lagi yang telah disiapkan orang bunian.

"Wah! Cantiknya anyaman ini. Nampaknya tugas aku cuma memasang bumbung dan dinding." bisiknya sendirian.

Sebelum malam berlabuh. Siru selesai memasang bumbung rumahnya. Dia tidak perlu risaukan bahagian dinding kerana yakin orang bunian akan menyudahkan semuanya.

Memang benar. Ketika Siru tiba petang esoknya, dia mendapati semua dinding sudah siap dipasang. Tanpa berlengah Siru terus masuk ke dalam rumahnya.

Alangkah terperanjatnya Siru apabila mendapati seekor rusa sedang nyenyak tidur di situ. lebih terkejut lagi apabila dicamnya bahawa rusa betina itu adalah Sari!

"Hei, berani kau mencerobuh rumahku." Tempik Siru.

Sari yang sedang lena bingkas bangun dan turut menjerit: "Siru? Apa kau buat di sini? Kenapa menjerit di dalam rumahku?"

"Rumah kau? Aku yang membinanya setiap petang dengan bantuan orang bunian, kau kata rumah kau?" Siru membentak.

"Memang ini rumahku. Setiap pagi aku membinanya sendirian. Err.. Maksudku, dengan bantuan orang bunian." Siru mempertahankan dirinya.

"Orang bunian?" Tiba-tiba mereka menjerit serentak kemudian terdiam.

"Cuba kau ceritakan bagaimana kau membina rumah ini." Siru bersuara.

Sari menelan liur. "Pada suatu pagi aku menemui tempat ini dan kubersihkan. Pada pagi esoknya aku datang lagi dan kudapati tiang-tiang sudah terpacak. Lalu aku teringat kau pernah memberitahu bahawa apabila kita ikhlas melakukan sesuatu maka orang bunian akan menyelesaikan yang sebahagian lagi? Setiap kali aku membina satu bahagian, keesokan harinya satu bahagian lagi siap sendirinya."

Siru merenung Sari sambil tersenyum. "Setiap petang aku membina sebahagian rumah ini dan mendapati sebahagian lagi disiapkan orang bunian. Ah, rupa-rupanya engkaulah yang kusangka orang bunian itu."

Sari memandang Siru dengan mata bersinar. "Kalau begitu kita akan berkongsi rumah ini."

Tiba-tiba Sari tunduk sayu. "Bukankah kau membina rumah ini untuk isteri dan anak-anakmu? Ia agak kecil untuk aku tinggal bersama." Suara Sari hampir tidak kedengaran.

"Benar. Inilah rumah yang kuimpikan untuk isteri dan anak-anakku tetapi pernahkah aku memberitahumu bahawa aku tidak mempunyai calon selain dirimu?

Sari terkedu dan serta merta terasa darah segar mengalir ke segenap urat tubuhnya, menjalar ke muka dan menukar rona wajah menjadi kemerahan.

Tiba-tiba dirasanya seluruh rimba ikut menyetujui lamaran itu.

;;;;;;;;;

Kisah di atas sebenarnya adaptasi daripada sebuah buku cerita kanak-kanak yang pernah saya baca lebih 10 tahun lalu. Pernah saya ceritakan pada anak-anak sambil melayani mereka tidur. Saya paparkan semula di sini menggunakan gaya bahasa sendiri untuk kita berkongsi mesejnya.

Namun apa mesejnya? Banyak. Saya percaya para pengunjung budiman dapat mengesan pelbagai pengajaran daripada kisah tersebut.

Daripada sekian banyak amanat yang terdapat dalam cerita tadi saya ingin menarik perhatian pada baris berikut:

"Lalu aku teringat kau pernah memberitahu bahawa apabila kita ikhlas melakukan sesuatu maka orang bunian akan menyelesaikan yang sebahagian lagi? Setiap kali aku membina satu bahagian, keesokan harinya satu bahagian lagi siap dengan sendirinya."


Read more...

Injil Barnabas

Saturday, July 24, 2010



Tajuk pada blog Informasi Sains dan Islam berkenaan Injil Barnabas mengingatkan saya pada satu pengalaman menarik yang saya pernah alami sendiri 21 tahun yang lalu.

Pada 1989 ketika menuntut di MPIK KL, saya menemui injil Barnabas di perpustakaan dan membacanya hingga tamat. saya sedar ia bukan tulin. Terdapat campurtangan manusia di dalamnya.

(Bagi yang ingin mengetahui tentang injil yang dikatakan mirip pada kitab asal itu bolehlah klik di sini.)

Pada suatu hari saya menemui seorang pelajar dari Sabah yang saya ketahui dahulunya beragama Kristian. Tujuan saya ialah untuk bertanya tentang Barnabas.

Beliau meminta maaf kerana bukan sahaja tidak tahu mengenai Barnabas malah dia juga langsung tidak tahu berkenaan kristian.

Rupa-rupanya beliau memeluk Islam sejak kecil bersama keluarga.

Puncanya begini:
Pada mulanya mereka sekeluarga tidak mempunyai sebarang agama selain paganisme. Apabila usaha serius pihak gereja menyebarkan Kristian di Sabah maka ibu bapa beliau mengambil keputusan menganut agama itu agar tidak tersisih daripada masyarakat setempat.

Namun, tidak lama selepas itu ibu beliau mengalami mimpi aneh beberapa kali. Dalam mimpi tersebut seorang lelaki berjubah putih menasihatinya agar memeluk Islam.

Akhirnya bapa beliau menemui padri dan menceritakan perkara tersebut. Sungguh mengejutkan apabila padri itu telah berkata: "Kalau saya di tempat awak, saya akan memilih Islam".

Maka mereka sekeluarga segera menemui imam dan mengucap dua kalimah shahadah.

salam hormat,







Foto:
oldchristianwritings.com

Read more...

bersederhanalah

Tuesday, July 20, 2010


Air adalah sumber kehidupan. Manakala sebuah kolam adalah sebuah dunia kecil. Barangkali juga cerminan bagi kita.

Segalanya berlaku dengan bersebab meskipun Allah Taala tidak tertakluk pada hukum itu. Bahkan Allah-lah yang mengawal dengan qada dan qadar-Nya.

Beberapa jam yang lalu...
Walaupun urusan belum selesai, saya singgah sebentar di rumah dan buru-buru menunaikan solat asar. Selepas itu sempat pula menjengah kolam yang kelihatan tenang dan damai.

Sejak beberapa minggu yang lalu semakin ketara surutnya air kolam. Pastilah kebocoran pada dasarnya telah semakin merebak.

Maka saya memulas kekunci sumber air dan air jernih berklorin meluncur deras ke dalam kolam. Ikan-ikan keriangan kerana air adalah punca kehidupan.

Ya. Air adalah sumber kehidupan. Namun air asli semata-mata belum memadai untuk manusia. Maka manusia memasukkan klorin ke dalam air bagi meningkatkan kualiti air.

Air itulah yang kami salurkan terus ke dalam kolam setiap hari. Malah kadang-kadang sehingga tiga kali sehari sejak kolam itu mengalami kebocoran.

Namun malam tadi kegemparan berlaku. Ikan-ikan kecil besar yang menghuni di dalamnya terkejang tidak bernyawa. Beberapa ekor spesis yang agak lasak seperti betuk dan kalui pun tercungap-cungai menanti ajal.

Nampaknya kebimbangan kami terhadap musuh seperti burung dan ular belum menjadi kenyataan. Sebaliknya ikan-ikan itu terlebih dahulu tewas dek faktor dalaman.

Kesilapan besar saya ialah kerana terlupa menutup air paip sehingga ia melimpah selama beberapa jam. Akibatnya, air berklorin sudah mengatasi air yang sedia ada di dalam kolam.

Seluruh keluarga ikut bersedih dengan tragedi yang berlaku.

Puas saya berfikir; apakah tamsilan daripada peristiwa ini? Apakah yang boleh dipersamakan dengan klorin? Ia bukan perbuatan musuh luar. Bukan juga musuh dalam selimut.

Ia adalah kesilapan sendiri.

Akhirnya saya memahami bahawa kejadian ini adalah amaran daripada Allah Taala agar bertindak sederhana. Klorin yang digunakan untuk meningkatkan kualiti air bertukar menjadi racun apabila digunakan secara berlebihan.

Read more...

bermain api

Wednesday, July 14, 2010


Dalam cerita 1001 malam, sekumpulan pelaut telah singgah di sebuah pulau untuk mengganti bekalan dan menghilangkan kejemuan belayar.

Sambil menambah bekalan makanan dan minuman mereka turut bersukaria sambil menyalakan unggun api untuk memanaskan badan dan memasak.

Tiba-tiba mereka berasa pulau tersebut bergerak-gerak dan salah seorang daripada mereka dengan segera memahami apa yang sedang berlaku: Ya, daratan yang mereka sangka pulau tersebut sebenarnya bahagian belakang seekor ikan yang amat besar! Manakala para pelaut tersebut melakukan kesalahan yang lebih besar iaitu membuat unggun api di atas belakang makhluk Allah itu.

Mungkin sakit atau mungkin marah; si ikan pun menyelam. Maka sebuah pulau yang permai bertukar menjadi malapetaka kepada tetamunya.

Para pengunjung yang budiman;
Barangkali demikianlah yang berlaku di negara kita sekarang. Di tengah ketenangan dan kehidupan harmoni rakyat tiba-tiba muncul manusia-manusia yang entah sengaja atau tidak telah mengocak ketenangan negara.

Pelbagai isu ditimbulkan dan ia sebenarnya seperti api yang dinyalakan di atas seekor ikan besar.

Tiba-tiba saya teringat senikata sebuah lagu:

'Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Airmata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang'

salam hormat;





foto:
fire devil vuur duivel
Jan Hoogendoo... flickr.com

Read more...

Peralihan kuasa seterusnya

Friday, July 2, 2010


Apabila Parameswara tiba di Melaka, tempat itu hanyalah sebuah perkampungan nelayan. Tiada penguasa, tiada raja, bahkan majlis perbandaran pun belum ada.

Parameswara tidak datang seorang diri. Bersama baginda ialah seluruh pengikut terdiri daripada pembesar, tentera dan rakyat yang setia.

Dengan restu masyarakat setempat, maka rasmilah baginda menjadi raja. Bagi yang tidak bersetuju, mereka akan berpindah ke tempat lain. Mereka akan membuka pertempatan baru atau menumpang di bawah raja yang lain.

Demikianlah adatnya zaman itu.

Dari semasa ke semasa, terdapat pula kampung-kampung di sekitar Melaka yang ingin berajakan Parameswara. Maka Melaka pun meluas menjadi sebuah negeri berdaulat.

Masa berlalu, hasil pentadbiran yang teratur dan berkesan beberapa negeri lain turut ingin bernaung di bawah Parameswara. Maka Melaka bertukar menjadi sebuah negara.

Terdapat juga negeri yang dirasakan mengancam kedudukan Melaka. Situasi kerajaan zaman itu tidak akan membiarkan perkara itu berlaku. Maka secara terpaksa, negeri-negeri tersebut turut tertakluk di bawah Melaka. Salah satunya melalui peperangan.

Maka terbentuklah empayar.

Jika dilihat perkembangan di atas, kita akan mengesan bahawa berlaku pengambil alihan kuasa oleh satu pihak ke atas pihak lain. Itulah yang disebut sebagai penguasaan, penjajahan atau penaklukan.

Proses di atas tidak sahaja berlaku di Melaka bahkan di seluruh dunia. Ia tidak sahaja dilakukan kerajaan Melaka malah oleh semua kerajaan di dunia, tidak terkecuali kerajaan Islam.

Maka pada suatu ketika, Melaka pula diserang dan dijajah oleh kuasa lain (Portugis, 1511). Setelah itu diambil alih pula oleh Belanda pada tahun 1641.

Seterusnya Inggeris menguasai tanah air kita tetapi dengan cara berbeza. Sesuai dengan sistem kapitalis yang dianuti mereka, pendekatan lebih lembut digunakan berdasarkan tawaran keuntungan: permintaan dan penawaran. Tidak ketinggalan melalui ugutan dan ancaman.

Adakah hal tersebut masih berlaku di zaman atau milinium ini? Fikirkan sendiri. Mungkin anda boleh membandingnya dengan globalisasi.

Secara rasminya, zaman penaklukan melalui peperangan telah berlalu. Namun bukan bermakna penjajahan sudah terhenti.

Jika kita buat sedikit kajian, peralihan kuasa sudah bertukar kaedahnya. Ia dilakukan melalui demokrasi dan globalisasi.

Apabila kita merdeka, mahu tidak mahu kita mewarisi sistem yang ditinggalkan British yang menganut faham kapitalis. Turut diwarisi ialah sistem demokrasi.

Asas demokrasi adalah sebagaimana kata-kata Abraham Lincoln: 'dari rakyat oleh rakyat untuk rakyat.

Dalam proses demokrasi, setiap individu memiliki satu kuasa undi. Rakyat memilih pemimpin dari kalangan mereka sendiri. Rasionalnya ialah apabila berlaku sebarang natijah, rakyat sendirilah yang akan menghadapi dan menanggungnya.

Sejak merdeka, negara kita sudak melalui 12 kali pilihan raya. Tidak lama lagi pilihanraya yang ke-13 akan berlangsung. Kelompok mana pula yang akan berkuasa kali ini?

Selama 12 penggal negara ditadbir oleh Perikatan atau Barisan Nasional. Tunggaknya ialah UMNO yang mewakili orang Melayu. Hal ini bermakna setelah kejatuhan Melaka 1511, orang Melayu kembali berkuasa di tanah air sendiri mulai 31 Ogos 1957.

Jika dilihat perkembangan mutakhir, hasrat untuk mengubah tradisi ini semakin ketara. Kemenangan tipis BN dalam PRU-12 menguatkan semangat pihak pembangkang untuk mengambil alih teraju pemerintahan.

Dalam barisan pembangkang, parti yang paling dominan ialah DAP yang dikuasai kaum Cina dan sedikit Ikaum India. PRU-12 dan beberapa PRK menyaksikan keghairahan pengundi cina untuk memilih parti itu semakin ketara.

Terbaru, kajian statistik mendapati setiap 40 orang pengundi baru yang mendaftar, hanya ada seorang Melayu. Hal ini bermakna apabila berlangsung PRU-13, DAP dengan mudah akan menjadi parti terbesar.

Kenyataan Demang tersebut berdasarkan kecenderungan pengundi cina yang mengundi berdasarkan kaum dan parti. Kajian mendapati sejak dulu hampir semua bandar (pertempatan cina) akan mengundi DAP.

Melihat pada analisis keputusan PRK selepas PRU-12, kecenderungan tersebut bukan sahaja berterusan malah semakin ketara.

Maka Demang jangkakan PRU-13 nanti peralihan kuasa hampir pasti akan berlaku. Orang Melayu akan melihat politik negara dikuasai oleh kaum cina.

Maka sejarah baru akan mencatatkan:
1400 Melayu
1511 Portugis
1641 Belanda
1824 Inggeris (Perjanjian London)
1942 Jepun
1945 Cina Bintang Tiga
1946 Inggeris
1957 Melayu
2011 Cina DAP

Masa tu, barulah orang Melayu faham erti 'putih mata'.


Salam perjuangan,

Read more...

Yang paling diminati

Latar belakang blog Cheguman Online

Baru-baru ini Panglima Perang Cyber, YDP BPN menegur saya:

"Kenapa Cheguman tidak menulis macam dulu?"

Saya termenung seketika dengan teguran tersebut. Apa perbezaannya? Apa yang kurang? Apa yang istimewanya dahulu?

Sejenak saya menoleh dan merenung kembali jejak perjalanan Demang Lebar Daun mengemudi Waadat sejak Mac 2008. Secara jujur saya akui sering tersepit antara kualiti dengan kuantiti. Hambatan terhadap populariti bagi menarik seramai mungkin khalayak pembaca sering mengorbankan kualiti persembahan.

Barangkali ia suatu ironi namun itulah hakikatnya. Persaingan merebut pengunjung mengasak para blogger memanipulasi isu sebanyak mungkin. Kebanyakan blogger perlu membuat 'update' sekerap yang boleh, termasuk menggunakan tajuk-tajuk sensasi.


Demikian juga diri ini. Dalam usaha meletakkan Waadat dalam senarai teratas 'blog list', hasil tulisan berbentuk analisis dan pemikiran metakognitif telah bercampur dengan artikal-artikal berbentuk berita dan komentar terhadap isu semasa.

Ibarat kain cukin yang ditarik ke atas terbuka di bawah ditutup bawah atas terbuka maka saya cuba seupaya mungkin memaksimum kemampuan diri dicelah kekangan yang ada.

Cuma yang saya khuatir ialah jika akar tak jejak di bumi sedangkan pucuk pula gagal menggapai awan. Bagai kiambang yang terapung di air, terpaksa membahagi diri tiap kali biduk menghampiri.

Dalam keterbatasan itu makanya saya mengambil suatu keputusan untuk mengasingkan dan menghimpun penulisan saya kepada beberapa bahagian:

1) tulisan-tulisan berbentuk berita dan isu semasa akan kekal dalam blog
Waadat.

2)
'Cheguman Online' menjadi wadah untuk saya berinteraksi lebih rapat dengan anda semua melalui tulisan-tulisan berbentuk perkongsian pengalaman, perasaan, pandangan hidup termasuk metakognitif serta falsafah.

3) wacana pendidikan dimuatkan dalam blog
4arif2010.

4) petua, ramuan, rawatan alternatif, dan perubatan herba tradisional kekal di blog
Morhabshi.
Ertinya saya akan menulis dalam empat medan blog berbeza mengikut kritia masing-masing. Semua tajuk-tajuk dan intro setiap entri saya sisipkan di sebelah kiri blog ini agar para pengunjung boleh menyemak entri terkini serta membuat pilihan bacaan.

Dalam pada itu saya akan terus menulis dalam blog-blog lain selaku penulis jemputan. Semuanya saya paparkan di sebelah kiri blog ini. Semua hasil tulisan tersebut akan dikumpulkan secara automatik dalam blog 'Cheguman Online'.

Hal ini bermakna blog 'Cheguman Online' akan menjadi blog sehenti atau portal yang berfungsi memaparkan semua aktiviti saya dalam talian, termasuk Face Book dan sebagainya.

Akhir kata saya dengan rendah diri mengharapkan sahabat-sahabat dan sekalian pengunjung untuk bertukar pendapat serta pandangan secara terbuka sambil mengamalkan etika murni rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan kalian semua sepanjang penglibatan saya dalam komuniti maya sejak 1999.

Ampun dan maaf jika terdapat kesalahan atau ketelanjuran bicara saya selama ini.

Salam 1 Malaysia.

Salam hormat,

Salam hormat,

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP