Menguasai ICT, dikuasai pemilik ICT
Thursday, February 18, 2010
Hari ini, anda boleh menaip satu perkataan di dalam engin carian internet dan segera dipaparkan dengan jutaan maklumat.
Hari ini juga anda boleh menaip lokasi pada alat GPS anda dan mesin tersebut akan memandu anda sampai ke destinasi yang dikehendaki.
Kunci utama kecanggihan ini ialah ILMU dan MAKLUMAT.
Bukan Bill Gates seorang yang mengetahui bahawa ilmu pengetahuan dan maklumat itu penting. Bahkan beliau sendiripun diberitahu oleh orang lain. Bezanya, Bill Gates bersikap positif dan bertindak proaktif.
Ummat Islam pula sudah dimaklumkan Rasulullah sebaik Baginda menerima wahyu pertama iaitu Iqra' - 'bacalah'. Maka, bacalah.
Seruan di atas mungkin tidak sesuai saya tujukan kepada anda memandangkan anda memang gemar membaca. Jika tidak, masakan anda membaca coretan ini.
Kita berkongsi pendapat.
Membaca adalah proses memasukkan maklumat ke dalam minda dan dicerna sebagai satu pemikiran. Hasilnya dijelmakan dalam bentuk tindakan.
Dalam filem Laksamana Doremi, Menteri Pasola berjaya dibunuh setelah laksamana doremi mendapat maklumat bahawa menteri tersebut akan mati apabila tapak kakinya dicucuk bambu runcing.
Maka diungkapkan satu kenyataan bahawa sesiapa yang menguasai maklumat maka mereka berupaya menguasai orang lain.
Jika demikian, tidakkah negara yang memegang maklumat juga mampu menguasai negara lain? Lihatlah, negara mana yang memegang kunci bank maklumat dunia?
Di mana pula kedudukan kita hari ini, khususnya ummat Islam. Begitu juga warga negara Malaysia yang bukan Islam. Adakah kita masih mahu terus-terusan betelingkah dan berbahas soal siapa yang Islam siapa yang kurang Islam atau siapa yang terkeluar daripada Islam dengan sejemput ilmu yang kita miliki? Ikhlaskah kita menghukum tanpa dipengaruhi emosi dan persepsi sendiri?
Saat ini setiap pergerakan kita dipantau rapat melalui pelbagai teknologi canggih. Lihat sahaja GPS yang mampu mengekori ke mana sahaja kita pergi. Di atas sana satelit-satelit bertugas 24 jam sehari dan setiap detik menghimpun maklumat serta menyalurkannya kepada tuan-tuan mereka.
Kita? Masih sibuk bercakaran sesama sendiri dan terpesona dengan janji demokrasi, liberalisasi, globalisasi dan sebagainya.
Foto:
satellite track...ti jpg
spaceplace.jpl.nasa.gov
0 comments:
Post a Comment