Pak Kaduk dan sembah derhaka
Sunday, February 7, 2010
Masih ingatkah pada kisah Pak Kaduk? Dalam masyarakat Melayu watak Kaduk sinonim dengan ungkapan 'menang sorak kampung tergadai.'
Versi asal Pak Kaduk menceritakan seorang lelaki yang digelar Pak Kaduk. Dikatakan bahawa Pak Kaduk merupakan seorang yang gemar menyabung ayam. Beliau mempunyai seekor ayam sabung yang handal bernama 'Biring'.
Diceritakan pada suatu masa Pak Kaduk telah membawa si Biring ke istana untuk mencabar raja bersabung ayam. Raja menyahut cabaran tersebut walaupun menyedari ayamnya pasti akan kalah. Sebagai raja yang berakal panjang, baginda mengatur strategi dan berjaya memujuk Pak Kaduk menukarkan ayamnya dengan ayam milik Pak Kaduk.
Apabila persabungan dilangsungkan, Si Biring telah menang sebagaimana yang dijangka. Pak Kaduk yang terlupa bahawa ayam mereka telah bertukar-milik, bersorak kegembiraan.
Namun raja menyedarkan Pak Kaduk bahawa Si Biring sudah menjadi milik baginda dan Pak Kaduk telah kalah di dalam gelanggang.
Akibat kekalahan tersebut Pak Kaduk kehilangan taruhannya berupa sebuah kampung (jajahan?).
Ada pendapat yang mengatakan Pak Kaduk bukan rakyat biasa sebaliknya seorang pembesar atau 'Orang Kaya'. Itulah sebabnya taruhan mereka bukan sekadar wang ringgit sebaliknya sebuah kawasan atau jajahan.
Selain versi asal terdapat beberapa versi lain termasuklah yang diolah semula oleh beberapa penulis moden. Antaranya, digambarkan Pak Kaduk sebagai rakyat yang teraniaya lantaran diperdaya raja. Hujah mereka ialah Pak Kaduk sebagai rakyat tentu tidak mampu membantah perintah raja untuk menukarkan ayam sabung masing-masing.
Bagi saya anggapan tersebut juga tidak begitu adil. Pihak berkenaan menggunakan neraca pihak luar dalam menilai perhubungan raja-rakyat. Jika kita jujur menelaah semula kesah tersebut, kita dapati Pak Kaduk TIDAK diperintahkan datang bersabung sebaliknya beliau hadir ke majlis yang dianjurkan raja secara SUKARELA.
Dalam kesah tersebut juga dinyatakan bahawa Pak Kaduk yang mencabar raja untuk bertanding.
Dalam sistem pemerintahan beraja, kita meletakkan raja di atas sekali. Sebagaimana dinyatakan dalam Sejarah Melayu, Demang Lebar Daun yang merupakan pemimpin sebenar Palembang telah mengangkat Sang Sapurba menjadi ketua negara. Perlantikan dan penyerahan kuasa itu disertai istiadat beserta perjanjian yang dikenali sebagai waadat. Dinyatakan juga batas-batas yang perlu dipatuhi bersama bagi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara-bangsa.
Saya fikir tak perlulah dihuraikan satu persatu batas hubungan raja-rakyat dalam artikal ini. Cuma saya ingin lontarkan soalan iaitu adakah wajar Pak Kaduk mencabar raja bersabung? Bagaimana jika raja kalah? Apakah tujuan sebenar Pak Kaduk? Inginkan hadiah atau berniat memalukan raja?
Jika kita membaca mana-mana kesah raja di seluruh dunia, kita akan berjumpa banyak peristiwa yang menunjukkan raja memberi anugerah kepada rakyat yang memberi sumbangan atau hadiah peribadi kepada raja. Demikian juga halnya raja-raja Melayu. Pak Kaduk yang hidup pada zaman itu mustahil tidak tahu amalan tersebut.
Sudah hilangkah adab Pak Kaduk dengan raja? Kenapa nak dimalukan raja?
Bagi saya, mesej dalam kesah Pak Kaduk ialah seseorang raja itu akalnya panjang dan pandai menggunakan kuasanya. Raja tersebut menggunakan kuasanya untuk menukarkan ayam sabung tersebut. Raja menggunakan kuasanya untuk melindungi maruah raja. Maruah raja adalah maruah negara dan negara adalah tempat kita bernaung.
Pak Kaduk bernasib baik kerana hanya ditukarkan ayam sabung. Kalau saya yang menjadi raja, saya akan tangkap Pak Kaduk dan sumbat ke penjara (ISA) atau halau Pak Kaduk dari negeri tersebut. Malah hukuman lazim bagi penderhaka di mana-mana negara ialah bunuh samada dipancung, disula atau digantung.
Ada satu peribahasa melayu yang menggunakan istilah 'kaduk' iaitu 'kaduk naik junjung'. Saya harap orang Melayu masih ingat maksudnya iaitu jangan berperangai macam Pak Kaduk yang cuba mencabar seorang raja!
Kata sesetengah orang, kesah Pak Kaduk berlaku di negeri Perak, lantas saya teringat isu mutakhir bagaimana seorang bekas MB mendakwa Sultan Perak bersalah kerana memecatnya!
Nota:
Artikal ini telah disiarkan dalam blog Waadat pada 20/2/09.
0 comments:
Post a Comment