Hikayat Dua Kelongsong
Tuesday, February 2, 2010
'Phanggg...!'
Beberapa ekor unggas yang sedang bertenggek lena di cabang pohon berhampiran tersentak dan bertempiaran mendengar letupan itu. Seketika, menyedari bunyi tersebut tidak mengancam nyawa mereka dan anak bini maka para unggas kembali hinggap melayan kantuk.
Hanya pada keesokan harinya barulah peristiwa tersebut menjadi gempar. Sekumpulan anggota polis bersama pakar forensik yang bergegas ke tempat kejadian menemui dua kelongsong terletak tidak jauh antara satu sama lain.
Kelongsong pertama diperbuat daripada logam sebesar ibu jari, ditemui pada pangkal sebatang pokok. Tidak jauh dari situ tertiarap kelongsong kedua bersaiz seorang manusia dewasa yang dicipta daripada daging, tulang dan kulit manusia.
Sememangnya kelongsong kedua itu adalah seorang manusia yang kini sudah digelar mayat!
Sikecil telah menumpaskan sibesar namun akhirnya kedua-duanya terbuntang kejang.
Kedua-dua kelongsong dibawa pulang ke makmal. Kelongsong pertama diperiksa dan dicari asal usul manakala kelongsong kedua diusung ke hospital untuk dikesan susur galur.
Kisah dua kelongsong pastinya tidak terhenti di situ sahaja. Sementara pakar forensik sibuk memeriksa tubuh kaku, pegawai penyiasat menyusur punca kejadian bagi mengesan pemangsa. Di seberang sempadan alam, para malaikat memulakan tugas memeriksa diari hidup seorang manusia.
Jasad yang kaku sama seperti kelongsong peluru. Kedua-duanya tidak mampu menjawab sebarang soalan. Sekumpulan pakar daripada kalangan manusia akan memeriksa kelongsong peluru dan jasad mangsa bagi mengesan maklumat bagi membantu mereka mengetahui apa yang sebenarnya berlaku terhadap manusia itu semasa hidupnya hingga membawa kepada kematian. DNA, cap jari dan sebagainya dianalisis dengan rapi menurut kepakaran masing-masing.
Benarlah, tika itu lidah tidak lagi mampu menjawab manakala setiap anggota tubuh yang terlibat akan 'menjawab' sendiri perkara yang dilakukan.
Pegawai penyiasat mengumpulkan bukti-bukti daripada segenap sudut bagi mendapatkan jawapan apa atau siapa yang menyebabkan mangsa kehilangan nyawa.
Demikian pula para malaikat di dalam kubur turut melaksanakan tugas mereka memeriksa simati dengan cara tersendiri. Semua maklumat dikumpul dan diperiksa untuk digunakan semasa proses pendakwaan di Padang Mahsyar nanti.
Berbeza dengan mahkamah dunia yang hanya menghukum pemangsa; mahkamah akhirat turut menghukum kedua-duanya, pemangsa dan mangsa itu sendiri.
Justeru jangan disangka bahawa selepas mati segala urusan terhenti. Sebenarnya ia hanya satu perhentian bagi perjalanan roh yang panjang. Kelongsong yang ditinggalkan akan dikambus dan mereput dimamah ulat dan bakteria.
Kematian di dunia bermaksud perjalanan seterusnya baru bermula namun tanpa kelongsong yang fana. Ia adalah perjalanan abadi menemui pencipta sebenar, pemilik segala yang ada.
foto hiasan:
death
lituss2003 flickr.com
The Death of Hi...us jpg
peoplearea.com
0 comments:
Post a Comment