DEB dan assobiah
Thursday, June 10, 2010
"Berapa harga kelapa sekarang?" tanya saya.
"15-20 sen," jawab adik ipar saya.
"Eh, takkan murah sangat?" saya tidak berpuas hati.
"Paling-paling pun, 25 sen. Jarang-jarang naik 30 sen." beliau menambah.
"Di Penang, harga kelapa RM1.20-RM1.80 sebiji," tambah saya lagi.
"Itu di bandar. Ini di kampung." jawabnya perlahan.
Adik ipar saya ini memang tidak banyak cakap. Sejak muda beliau keluar dari kampung dan bekerja di bandar. Kesetiaan beliau pada satu kilang selama belasan tahun menyebabkan beliau begitu mahir dalam bidangnya. Akhirnya beliau diberi kepercayaan menguruskan sebuah kilang di Johor.
Namun kilang tersebut gagal meneruskan operasi setelah terjebak dalam krisis ekonomi sekitar 1998. Adik ipar saya itu memilih untuk tinggal di kampung menguruskan tanah kebun ibu bapanya. Padahal jika dia bertukar ke kilang lain dengan pengalaman yang ada, beliau boleh mendapat RM4-5K sebulan.
"Kenapa tak jual sendiri?" saya bertanya. "sewa lori dan bawa kelapa ke bandar. Pasti laris." saya memberi idea.
Bukan susah sangat memberi pendapat. Yang susah ialah melaksanakan nasihat. Apatah lagi nasihat yang diberi oleh 'orang luar' yang tidak mengalami sendiri.
Tidak lama selepas itu barulah saya ketahui cerita sebenar:
Adik ipar saya tidak sekadar mewarisi tanah dan kebun bapanya malah turut mewarisi hutang piutang yang ditinggalkan. Sejak sebelum merdeka, datuk dan bapanya serta majoriti orang kampung kami menjual hasil tani pada orang tengah berbangsa Tionghua.
Wang jualan yang tidak seberapa itulah yang menyara hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Jika tidak dikais pun, perut anak bini perlu diisi juga.
Maksud saya mudah sahaja. Jika sakit, berhutanglah dengan 'taukey' mereka. Perut yang lapar perlu diisi.
Hutang juga boleh terjadi ketika keluarga memerlukan perbelanjaan besar seperti kenduri, naik haji, membiayai pelajaran dan sebagainya. Itu belum lagi kes luar jangka seperti sakit, mati, kemalangan dan lain-lain.
Hutang juga boleh berlaku bagi memenuhi keinginan mereka sebagai manusia seperti membeli kenderaan, membaiki rumah, membeli perabot, dan memiliki alat teknologi baru.
(jangan wewenang menempelak mereka sebab tabiat tersebut masih kita warisi dengan pelbagai kaedah modern termasuk 'kad kredit')
Semua perkara tersebut boleh diperolehi melalui 'taukey' dengan syarat mudah; iaitu mencagarnya dengan geran tanah dan diwajibkan membayar melalui potongan hasil jualan kelapa, koko dan sebagainya.
Itulah realitinya dan hutang itu masih diwarisi biarpun negara sudah merdeka lebih 50 tahun! Maklumlah, berapa banyaklah yang boleh ditolak hutang setiap kali menjual hasil tani?
Itulah realiti nasib yang dikongsi oleh kebanyakan orang Melayu sejak sebelum merdeka. Yakni sejak Inggeris memerintah dan membawa masuk pekerja daripada China dan India.
Keghairahan Inggeris memenuhi permintaan pasaran dunia terhadap bijih timah menyebabkan penggunaan buruh asing terutama daripada Cina. Inggeris tidak mahu menggunakan tenaga orang tempatan kerana mereka diperlukan dalam sektor pertanian dan pengeluaran sumber makanan.
Alasan di atas berlawanan dengan tanggapan sesetengah pihak yang menuduh orang Melayu tiada kemahiran bekerja di lombong. Lebih menyedihkan, ada yang mengatakan orang Melayu tidak boleh bekerja di lombong kerana sikap mereka yang malas.
Jelas, pengekalan orang Melayu di kampung-kampung yang ekonominya terbatas dan pasif adalah disengajakan oleh Inggeris atas percaturan ekonomi dan agihan sumber tenaga.
Bersambung...
foto:
549x725 - 138kB - jpg napiture.blogspot.com
400x300 - 48kB - jpg mrfeckry.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment