menaikkan gred Melayu
Tuesday, June 1, 2010
Ketika saya menjumlahkan markah murid-murid tadi, saya tersedar bahawa ramai yang memperolehi 79 markah. Ertinya kurang satu bagi mencapai gred A.
Maka saya menyemak kembali kertas jawapan subjektif yang telah saya tandakan. Saya dapati beberapa jawapan yang diberi telah dimarkah dengan agak ketat. Padahal masih ada ruang untuk dinaikkan markahnya.
Maka hampir semua murid yang kurang satu markah itu saya bantu bagi mencapai gred A atau B (mengikut kesesuaian).
Perbuatan saya itu dilihat anak-anak saya yang asyik melihat saya menjumlahkan markah. Tiba-tiba yang sulung menegur:
"Kenapa yang ini Papa tak tambahkan markah? Padahal markahnya pun 79 juga."
Rupa-rupanya anak saya itu sedang mempelajari bahawa jika markah 79 (B+), saya akan naikkan kepada 80 (-A)
"Memang Papa beri markah tambahan untuk naikkan gred, tetapi bukan sewenang-wenangnya. Hanya yang layak sahaja akan diberi markah tambahan. Papa akan lihat semula jawapannya dan menyemak jika ada ruang untuk diberikan markah tambahan. Dengan syarat ia memenuhi kriteria minimum. Kalau jawapannya memang salah, Papa takkan tambah walaupun setengah markah." Saya menjelaskan.
"kasihanlah pada yang tak layak naik gred tu." tambah anak saya.
"Apa nak buat. Namun jika dikira tidak layak, yang Papa tak naikkan itu sebenarnya lebih tidak layak. Jadi, dia tidak sepatutnya memprotes.
Saya fikir, DEB pun demikian juga. Bukan semua boleh dibantu dan kita tidak boleh berjaya hanya dengan bantuan. Walau bagaimanapun memang ada yang perlu dibantu jika kita dapati tidak ada seorangpun yang mendapat gred A.
Bagaimana pula dengan yang tidak dibantu?
Ya, mereka akan tidak berpuas hati. Barangkali juga akan marah. Malah adalah normal jika ada yang menghebahkan kekecewaan mereka pada orang lain. Itu memang lumrah manusia. Kita tidak akan mampu menyekat ketidakpuasan hati semua orang.
Dalam 'mengadu hal' itu, siapakah yang akan menceritakan kelemahan diri? Tidak ada siapa yang mahu dicop lemah.
Maka ramailah kalangan kontraktor yang gagal kerana diri kurang layak itu mula membawa cerita bahawa dia diketepikan kerana kroni. Golongan ini memang ramai. Mereka bercerita dan bercerita. Cerita semakin merebak dalam masyarakat dan membentuk satu persepsi.
Persepsi inilah yang kemudiannya menompok dalam batu jemala rakyat sehingga mengenepikan realiti.
Akhirnya, DEB dijadikan sasaran tohmahan kerana ia tidak mampu melawan. DEB juga dituduh bersalah bagi mengaitkan penerajunya dengan kegagalan.
Malangnya ramai yang tidak memahami tentang DEB pun turut menceritakan keburukan DEB.
Maka yang tahu hadis pun membawa hadis berkenaan assobiah. Walhal tiada satu frasa pun yang menunjukkan DEB itu menindas kaum lain. Bahkan DEB menjamin harta dan peluang kaum lain agar tidak dirampas oleh orang Melayu yang berang dengan tekanan hidup akibat penjajahan.
Insya-Allah saya akan tulis sekali lagi bagaimana kaum-kaum di Tanah Melayu distruktur semasa penjajahan. Semoga dari situ kita dapat melihat kebenaran dan tidak lagi menghina bangsa sendiri.
salam hormat.
foto Peta Kerajaan Srivijaya:
srivijaya empir...p1 jpg
public.kompasiana.com
0 comments:
Post a Comment