pertembungan ulama kerajaan, ulama pembangkang
Saturday, May 29, 2010
Dalam catatan sejarah manusia, baik Islam, Kristian, mahupun berkenaan idealisme; pertentangan pendapat tidak pernah berlaku antara yang alim dengan yang jahil. Pertelingkahan juga tidak akan berlarutan antara sijahil dengan sidungu. Yang sering menimbulkan perdebatan sehingga berlarutan dan akhirnya memudharatkan ummat ialah perselisihan pendapat antara golongan yang dikategori sebagai alim ulama.
Saya meneliti perjalanan sejarah Melayu dan Islam; dari Muawiyah hinggalah Kesultanan Melaka. Saya melihat kerajaan-kerajaan Islam yang dirujuk sebagai dinasti itu tidak kalah dek serangan senjata asing sebaliknya sang musuh cuma melakukan ‘finishing’ pada sebuah keruntuhan. Dengan kata lain, kayu sudah reput dan cuma menunggu masa untuk rebah. Penjajah hanya datang menjentiknya.
Sebelum saya terbabas ke tajuk penjajahan eloklah kita fokus pada peranan kita sebagai muslim yang turut bertangungjawab menjaga agama, negara, dan bangsa (tetapi bukan tolong menolong dalam melakukan kezaliman).
Kebetulan saya sedang menelaah kitab tinggalan Hamka (Islam: Revolusi Ideologi & Keadilan Sosial). Hamka menitipkan fakta tentang penglibatan ulama dalam kerajaan tetapi bukan sebagai cerucuk yang meneguhkan bangunan sebaliknya sebagai ‘sokong yang membawa rebah’.
Sesiapapun yang membaca kitab tersebut akan sedar bahawa yang dimaksudkan Hamka ialah ulama yang menyokong kerajaan memerintah. Lebih tepat lagi, raja atau sultan atau khalifah.
Bagi saya; pendedahan Hamka berkisar ulama yang bernaung di bawah khalifah sedang berseteru dengan ulama yang bercanggah pendapat dengan mereka.
Dalam pada itu patut kita sedar bahawa Hamka menulis kitab tersebut sebelum 1950, yakni di ambang kemerdekaan Indonesia manakala Malaysia ketika itu masih ada 10 tahun lagi di bawah penjajah.
Saya ingin katakan bahawa tulisan Hamka tersebut tidaklah sia-sia. Di Indonesia, yakni di tanah kelahiran Hamka para pejuang mengaplikasi sepenuhnya saranan Hamka yang akhirnya menyaksikan pembubaran beberapa institusi raja. Kini, tidak ada seorangpun lagi raja yang berdaulat di republik tersebut.
Bagi saya, Indonesia terburu-buru lantaran sedang mencapai kemerdekaan.
Di Malaysia, negara yang menganugerahkan gelaran profesor kepada Hamka juga tidak ketinggalan mengambil intipati ajaran beliau bagi membina negara.
Namun Malaysia lebih bijak dengan mengambil hanya yang baik dan menolak yang tidak sesuai. Justeru kita dapati Malaysia tidak terus membuang sultan dan institusi kesultanan dan tidak pula mengekalkan sistem raja berkuasa mutlak. Malaysia memperkenalkan satu sistem yang lebih sederhana iaitu Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan.
Bagi mengelakkan artikal ini mengambil masa anda terlalu lama, Saya cadangkan kita melihat keberkesanan corak pemerintahan berdasarkan realiti, antara Malaysia dengan Indonesia.
Jika dilihat pada hasil bumi, apa yang ada di Malaysia, di Indonesia lebih-lebih lagi hasil mahsulnya. Begitu juga sumber tenaga; berpuluh kali ganda berbanding negara Malaysia, sesuai dengan keluasan tanah mereka.
Namun hari ini kita dapat melihat ramai rakyat Garuda itu terpaksa berdagang ke Malaysia mencari rezeki yang sepatutnya ada di mana-mana.
Maka Saya katakan bahawa dalam memilih sistem, kita sudah berada di landasan yang betul. Cuma masih ada ruang untuk diperelok lagi. Inilah yang nak kita lakukan bersama-sama: ulama dan umara.
Saya juga melihat PAS yang dibarisi golongan berpendidikan Islam adalah sebagai ’pembangkang’ yang mampu berperan dengan baik, sehinggalah kehadiran Anwar telah berjaya mempengaruhi PAS menukarkan UMNO dengan PKR sedangkan siapapun tahu yang PAS tetap akan seperti dulu juga.
Bagi yang kurang jelas, biarlah saya pamirkan kedudukan yang dirancang Anwar untuk politik Malaysia:
PKR akan menerajui kerajaan menggantikan UMNO. Berbeza dengan UMNO, orang Melayu tidak mampu menjadi suara penentu dalam PKR.
DAP akan berada pada posisi paling hampir dengan PKR dan bertindak mewakili kaum bukan Melayu. Dalam DAP, orang melayu seperti buih di tasik yang luas.
PAS akan menjadi penasihat agama kepada PKR dengan sokongan segelintir orang Melayu yang belum sempat memahami realiti politik negara.
Manakala UMNO akan bertindak sebagai pembangkang.
Realitinya, sebelum semua itu menjadi kenyataan orang Islam di Malaysia akan terus terpecah-pecah. Jika bernasib baik, kita akan mati dalam iman. Jika tidak, iman kita dan anak cucu kita akan diuji di hujung senapang sebagaimana berlaku di Andalusia, Palestin, Afghanistan, Bosnia, Iraq, dan sebagainya.
Para pejuang akan mati syahid dan masuk syurga manakala generasi seterusnya akan menukar agama.
Begitulah yang berlaku di Andalusia yang tapaknya kita panggil Sepanyol sekarang!
Bukankah sejarah sekadar menyalin catatan dirinya untuk ditampal semula di masa depan menjadi peristiwa baru?
Wallahu’alam.
foto:
no sultan today
Inno\'vision flickr.com
0 comments:
Post a Comment